星期三, 十一月 30, 2005

Sarin kena buli


Sarin adalah anak ke sembilan dalam adik beradik. Nama penuhnya Shaharin Baharuddin, dilahirkan pada tanggal tahun 1963 di Kampung Tengkek. Aku masih ingat lagi masa kelahirannya, malam itu ada kenduri kahwin di rumah Atok Adom iaitu perkahwinan anak perempuannya yang bernama Puteh.
Masa adik beradik lain pergi ke majlis itu, aku pulak duduk belakang pintu bilik tengah kerana omak sedang sakit nak bersalin. Masa itu cuma ada Tipah bidan dan Mak we Saadi dalam bilik. Suasana dalam bilik yang hanya berpelita itu cukup suram dan aku mendengar omak mengerang kesakitan. Kemudian aku terdengar teriakan anak kecil.
Dalam kegelapan malam itu, aku merangkak keluar dan terus masuk bawah katil. Mak we perasan aku menyelinap bawah katil itu, apa lagi tercarut-carutlah dia.
"Keluar! keluar.. kang kok den chematkan (rotan) kang.." dia mengherdik aku.
Bila dia dah mula pandai bermain dan suka mengekori aku. Sikap suka membuli dan menakalkan adik-adik menyebabkan ayah dan omak cukup berhati-hati bila adik-adik tinggal sendirian dengan aku. Pernah satu ketika, Sarin bangun dari tidur waktu petang. Oleh kerana mungkin kurang vitamin, dia seperti tidak bemaya setiap kali bangun dari tidur. Dia ingin mengikuti aku keluar melistik petang itu, aku larang tapi dia merengek jugak nak ikut. Aku naik berang lalu memegang kolar bajunya serta menolak. Dia jatuh dan tercungap-cungap macam ayam tercekik. Aku pun lari.
Omak cepat-cepat bawak Sarin ke perigi dan mandikannya. Omak cakap Sarin macam nak pengsan. Semua orang marah dengan aku. Petang itu aku dirotan oleh ayah dengan kayu cangkul. Ayah suruh aku menonggeng, buppp... 3 kali. Sakitnya bukan kepalang hingga nak duduk letakkan punggung pun terpaksa alaskan tapak tangan. Masa itu aku kurus dan punggung pun tak berdaging. Bila kena pukulan kayu sebesar kayu cangkul tentulah memberi kesan yang cukup hebat. Inilah pengalaman yang sukar dilupakan gara-gara Sarin hampir pengsan.

Pak Lang Mahmud


Pak lang kini dalam usia menjangkau 70, masa mudanya cukup terkenal di padang bola. Dia suka mengambil posisi 'wing' sebelah kiri kerana tenangan kaki kirinya cukup kuat. Jika bola berada di kakinya, beliau lantas berlari pantas dan mengelicik lawan. Awas bila matanya sudah menjeling mencari rakan atau sasaran, dia tidak akan teragak-agak menghayun sepakan kiri. Pak lang dianggap brutal , baginya pantang diacah-acah semasa mengawal bola. Kasut bola Pak lang jenis kain kanvas sahaja. Ada juga rakan sepermainan merungut:
" Mamud, kok dapek bola tak nampak kawan"
Mukanya yang agak bengis dan bengkeng itu juga menjadikan anak-anak saudara kecut perut dengannya. Pak lang semacam kurang gemar bergaul dengan anak-anak apatah lagi dia tidak mempunyai anak melalui perkahwinannya dengan Mak lang Yam. Sukar sangat nak tengok beliau memberikan senyuman kepada kami.
Iyah patah kaki
Suatu ketika, Iyah patah kaki bila terjatuh dari pokok ubi gajah tepi pagar sekolah. Alan Tahu cakap Iyah nak jadi Tarzan masa bergayut di dahan ubi. Omak panggil Pak lang untuk urutkan kaki Iyah. Iyah merah padam menahan sakit bila Pak lang mengurut kakinya.
"Patah nii.. " Pak lang memecahkan keheningan petang itu. Dia tak banyak cakap dan terus balik. Petang itu juga Iyah dibawa ke hospital Kuala Pilah. Sepanjang duduk dalam ward, macam-macam Iyah mintak omak belikan. Omak akur dengan rengekan Iyah walaupun omak sendiri tak cukup duit.
Allahyarham angah Md Diah ( meninggal dunia April 1968) sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Seremban, kerap menyebut nama Pak lang. Angah merindui Pak lang walaupun bapa saudaranya itu bengkeng. Angah gagal bertemu Pak lang hingga saat akhirnya. Bila jenazah angah di bawa pulang, Pak lang pula yang sibuk menyiapkan rangka penutup jenazah yang diperbuat dari pelepah rumbia.
Silat pulut
Orang kampung semua tau, kalau ada majlis kenduri kahwin Pak lang akan dipelawa menunjukkan kemahirannya dalam seni tarian silat pulut. Pak lang dengan gaya tersendiri akan mempamirkan silatnya. Semenjak dah tua dan sakit-sakit belakang, Pak lang dah tak larat nak melayani jemputan orang.
Zaman tua Pak lang
Bila kami dah dewasa, perangai Pak lang banyak berubah. Dia mula memberi perhatian kepada kami dan gemar berbual panjang sambil menghisap rokok daun pucuknya. Ada sahaja bahan yang diceritakan Pak lang. Pengalaman memburu di hutan, jumpa hantu dan sehingga beruk peliharaannya kemaruk minum oren pun Pak lang ceritakan.
Beruk
Beruk Pak lang memang terrer bila memulas tandan kelapa. Beruknya akan menyergah dan menyeringai gigi taring kepada sesiapa yang lalu berhampirannya. Pak lang sayangkan beruknya sebab melalui tenaga beruk itulah dia dapat mengumpulkan sebahagian duit pergi haji beberapa tahun yang lalu. Masa di Mekah, orang biasanya menalipon sanak saudara bertanyakan khabar kesihatan diri tetapi Pak lang asyik bertanya tentang beruk dan motor kapcainya. Agaknya bagi Pak lang " have beruk will travel" dulu sampai naik lekuk palang handle basikalnya diduduk beruk. La ni raga motor kapcai itu pulak berkarat bergesel dengan tombong punggung beruknya. Kalau musim nak raya, sibuklah Pak lang dengan beruknya. Pak lang dapat upah wang atau dua-tiga tangkai nyior, manakala beruknya diberi gula-gula hacks atau air oren di kedai.
Beruk itu dengan Pak lang memang kamcing betul. Saat-saat pilu jelas kelihatan masa Pak lang nak berangkat ke Mekah. Beruk itu macam tau maksud pemergian tuannya. Mungkin kerana itulah Pak lang semacam ada sentimental value dengan beruknya.
Gula Enau
Selain mengambil upah mengambil kelapa, Pak lang juga ada mengusahakan projek tradisi membuat gula enau atau anau. Jualan gula ini juga turut menyumbangkan pendapatan bersih kepadanya untuk ke Mekah. Mak lang Yam turut mahir dalam membuat gula anau ini. Malangnya, Mak lang tak dapat mengikut Pak lang menunaikan haji kerana dia mudah pening dan muntah bila naik kereta. Naik motor kapcai pun Mak lang boleh muntah-muntah.

星期二, 十一月 29, 2005

Bulan Poso



Dulu-dulu kok poso kono tahan dugaan. Kekadang kito yang kocik poso tapi abang-abang yang lain tak poso. Lopeh tongah aghi paneh, maso tu tokak bukan kemain dahago. Kok nampak air peghigi pun sodap bona tu. Ghamai yang ngajar, maso jirus kepalo tu ambik peluang menogok air. Kok macam tu lobih baik minum yo kek timbo. Apolak nak nyughuk menipu namo ae tu.

Sobolum buko, kok jumpo limau masam dan biaweh mudo- omak ai bukan main keliur laie. Pocahkan lado dan taghuk kicap buek pencocah ae. Bacang mudo topi jalan Tangkogheng jadi mangso pembaeh bobudak yo. Maso dulu kek kampung, nak berbuko makan sodap tak ado. Sehabih kuek pun kuih bosopang goreng, lopek pisang dan pongat. Kok dapek sikit air nyigho atuk Kodo bukan kopalang sodap. Oghang tau kalau atuk Kodo ngambek nyigho buek gulo anau, mesti ludah-ludah sikit ko baldi tu sobab petuo ngambik nyigho.

Lopeh tu, atur pembukoan tu dan bersilo ghapat-ghapat. Bilo donga yo azan kek radio atau kotokan tabuh masjid.. samba air sekole bosa. Gup.. gup... capai apo yang ado. Lopeh tu tersanda kokonyangan. Buah limau masam dan kok bacang mudo tadi sumo tolak topi. " Bosa ontak" Omak cakap. " apolak tak abihkan buah tu...?"

Ado satu potang, lopeh ngaji tu atuk Keghajo cakap malam tu sombahyang terawih kek masjid. Maso tu jarang oghang tuo poie terawih. Abih yo berbuko, kami adik beradik pun berduyun ko masjid Tengkek. Malam pulak bukan kemain golap. Sampai kek topi jalan masjid, kito oghang nampak kelibat kengkawan tongah main berlari dalam masjid, ghaso-ghaso ae lampu minyak api dah terpasang. Apo laie, sumo bokojalah ke masjid. Malang ae, bilo sampai kek pintu masjid tu bergolap pulak.. kito oghang ingat kok bebudak tu menyughok ko.. suluh punyo suluh dongan celait ( touch light) sunyi sopi yo.

Perasaan takut pun sampai, adik-adik yang lain iaitu Sarin, Iyah, Ijai serta sedagho lain mulo bukak langkah seghibu.. oii jangan laghi, kang kok aku baeh dongan celait ni kang!! bilo sumo tak donga arahan, aku pun bodobut laghi keluar. Esok ae, kito cakap dongan Atuk Keghajo pasai kejadian malam tu. Ghupo ae Atuk tak jadi poie masjid sobab poghut dio momuleh. Apo tu tuk? Atuk cakap, " Jin agak ae tuu.."

Omak cakap kalau dapek abihkan poso, dio nak buekkan baju melayu baghu. Mak wo Liah akan buekkan baju tu. Seronok boto dan tak sabar nak nunggu baju tu siap. Se aghi bolum ghayo, Mak wo pun soghahkan baju tu kek topi pagar.. bilo dipakai, astaga... sobolah belakang baju terjongket pulak.. omak pujuk.. tak apo.. kalau pakai sampeng kang, tak nampaklah tu...

La ni, anak-anak momileh bona kalau kito nak bolikan baju ghayo. Kok tak kono di ati, mulolah menghajuk. Maso nak berbuko sumo yang terjual kek pasar ramadhan sumo nak diboli. Bilo tak abih buang kek ayam.

Along ado buek meghiam buluh kek belakang ghumah. Buluh meghiam tu jenih buluh tuo dan muncung buluh diikek dongan dawai. Bia kotat mengelakkan pocah. Taghuk tin milo atau tempurung kek mulut menghiam buluh tu, bilo dimasukkan kebait dan mengologak bunyi ae.. cucuh dengan api. Bummmm.... melayang bonda alah tu. Kalau ado yang membaleh mako berlawan-lawanlah main menghiam buluh.

星期五, 十一月 18, 2005

Ijo di ghotan 100 kali?

Allahyarham Ijo ( Zulkifli) pernah kena sebatan ayah sebanyak 100 kali. Peristiwa ini berlaku setelah ada pengaduan dibuat yang menuduhnya mencuri duit mak we Saadi. Ijo sebenarnya lebih rapat dengan mak we dan kerap dibawanya ke Kuala Lumpur tinggal di rumah Mak Long Feah. Kalau ada pasar minggu di Padang Lebar, Ijo kenyanglah makan rojak mamak dan kuih apam. Mungkin kerana itulah, kami adik beradik kurang mesra dengan Ijo masa kecil. Ateh Khairuddin semacam tak suka dengan Ijo, sepanjang ingatanku dia jarang sekali berbual atau bergurau dengan adiknya itu. Tak macam dengan aku yang selalu dibuli dan dijadikan 'punching bag' nya. Ateh mula berubah sikap dan menunjukkan sikap adik beradik dengan Ijo sewaktu ateh belajar di IKM Alor Star. Aku nampak perubahan ini bila ateh membelikan pakaian untuk Ijo dari Kedah.
Bila ayah dapat tahu Ijo mengambil duit mak we yang disimpannya bawah tilam ( masa itu mak we belum kawin lagi dengan Atuk Keghajo Itam), ayah yang baru balik dari kebun telah memanggil Ijo. Ayah merotan Ijo menggunakan rotan pecah seribunya. Ayah pegang tangan kiri Ijo dan suruh Ijo membilang sendiri sebatan yang singgah ke betisnya. Libasan rotan itu menyinggahi betis Ijo yang putih, birat dan merah. Ijo hanya mampu membilang tak sampai 10 sebatan sahaja dan kemudiannya menangis teresak-esak. Ayah panggil Iyah adik perempuan kami yang baru darjah satu waktu itu untuk meneruskan bilangan. Iyah membilang ayunan sebatan ayah sampai ke 16 kali dan kemudiannya menangis kerana tak tahan tengok Ijo didera begitu. Aku mengintai dari jauh dan ayah meneruskan sebatannya entah beberapa kali selepas itu. Ijo menangis sakan dan suasana pilu itu masih segar dalam ingatanku. Kami kemudiannya membantu Ijo menyapu minyak angin cap helang ke betis Ijo yang birat seribu.
Aku melihat Ijo waktu itu tak ubah seperti anak yang asing dan kurang bermesra dengan kami. Begitu juga sikap Ijo dengan adik-adik yang lain. Pernah semasa di bawah pokok rambai belakang rumah, Ijo menakik jari Iyah dengan parang hingga berlumuran darah. Lagi sekali Ijo dibelasah. Ijo dirotan macam membedal anjing kurap oleh Ateh. Omak pulak turut merotan Ijo beberapa kali. Ayah yang kebetulan nampak pesta membelasah Ijo telah berkejar dan mencapai batang cangkul. Allah! aku kecuk perut betul melihat babak yang akan berlaku. Ayah menghayun batang cangkulnya... bapppppp.... aku buka mata. Rupanya punggung emak yang pejal itu menjadi sasaran pukulan ayah. Ijo terlepas dan lari... Aku dan Iyah mengejar Ijo hingga ke kebuh getah Tok Bilal. Ijo mengadap kami dengan muka garang.. kami berundur, Malam itu Ijo mungkin beramalam di rumah Mak we Saadi.
Ijo dibuang sekolah
Ijo memang suka berboros dan malas belajar. Selepas tamat darjah 6 di SK Tengkek, Ijo masuk SM Batu Kikir ( English medium) dalam tahun 1969. Dalam kelas peralihan ( Remove class) itulah, Ijo tak membayar yuran bulanan khas bagi sesiapa yang memasuki aliran oghang putih. Kalau tak silap yuran bulanan masa itu $6.00 sahaja tetapi nilainya cukup bosa waktu itu. Surat peringatan sekolah disembunyikannya dan duit yuran itu digunakan oleh Ijo untuk berbelanja sakan di Kedai China Asau pekan Batu Kikir. Ijo hari-hari belanja kawan makan ice kacang.
Kira-kira 9 bulan lepas itu, ayah dapat tahu pihak sekolah memberi amaran keras dan menuntut yuran tertunggak dijelaskan segera. Ayah tak mampu untuk menjelaskannya dan Ijo pun berhenti dari sekolah. Ijo seronoklah melilau tak bersekolah. Emak suruh Ijo menyambung persekolahannya di Sekolah Menengah Rendah Agama Tapak. Ijo terpaksa bersekolah kembali. Kami hairan macam mana Ijo boleh menguasai pelajaran di sekolah tersebut kerana dia buta huruf dalam tulisan jawi. Cuma mata pelajaran Bahasa Melayu, English dan Ilmu Hisab sahaja diajar menggunakan tulisan rumi. Dalam keputusan SRP tingkatan tiganya, Ijo cuma dapat lulus dalam Bahasa Melayu dan English. Ijo belajar setakat itu sahaja.
Latihan teknikal
Ijo pernah belajar kelas malam membaiki radio di Chow Kit, Kuala Lumpur masa tinggal dengan Along Shariffudin. Dia selalu ponteng kelas dan kemudiannya balik berkerja di Ladang Tebu Air Itam dalam tahun 1974. Ayah ingin melihat Ijo berjaya dalam kerjayanya, ayah pohonkan kursus teknikal ( welding) di Pusat latihan Teknikal di Gentam, Kuala Pilah. Kali ini ijo menaruh minat dalam bidang ini. Selepas tamat, Ijo sibuk mencari kerja di kilang. Banyak tawaran yang dia dapat termasuk di Kawasan Industri Tampoi dan Kuantan. Ijo mengambil keputusan untuk berkerja di Senawang sehinggalah dia dinaikkan pangkat penyelia. Kerjanya kira mudah semasa berjawatan penyelia dan gaji pu kira okey. Namun selalu jugak bergaduh dengan isterinya Mimi kerana asyik tak cukup menampung perbelanjaan keluarga. Merokok kuat dan Ijo jenis suka berbudi. Kalau ada duit di tangan, mudah saja dia menghulurkan bantuan kepada kenalannya.

Carta Salasilah Keluarga

星期四, 十一月 17, 2005

Secangkir kopi dari penulis



Penakek pisau seraut
ambil galah batang lintubung
selodang ambil kenyiru
nan setitik jadikan laut
nan sekepal jadikan gunung
alam berkembang jadikan guru.


Begitulah ingatan peninggalan lama. Sejarah menjadikan kita dewasa dan rentetan suka duka sejak kecil mengimbau nastolgia hidup yang tidak akan dapat diputarkan kembali. Kini tiada lagi pematang sawah dan onak duri mencucuk telapak kaki. Putaran jam semakin jauh sehingga bila menjejakkan kaki di pusara ayah, hati begitu pilu dan aku seperti orang asing di tanah kelahiran ini.
Hidup bagai secangkir kopi tarik di warung sepi. Pahitnya kasih dan hitamnya kerinduan.

Kono badi katak


Badi katak

Momancing haruan bosa guno kail kotek panjang. Buluh kail yang digunokan panjang lobih limo dopo sobab sonang dihayun ko tongah sungai. Umpan ae anak-anak katak hijau yang banyak dalam sawah. Ghamai yang mengotek haruan guno kail ni, Acu Cangking iaitu pangkat bapak sodaro kami paling goma mancing haruan. Dio suko bersiul dan ponah jadi drummer kugiran kampung Tengkek bawah pimpinan Pak Lang Mat Sah Komaman. Ghumah dio lopeh kawin kek tongah sawah toponcil dari ghumah oghang lain. Cangking ni namo sobona ae Abdul Kadir bin Lanjung. Maso kocik kami reka pantun duo koghek khusus untuk dio:

Jongking kalo ula lipan
Cangking gilo omak ae Sintan

(Jengking kala ular lipan
Cangking gila emaknya Sintan)

Ateh Khairuddin turut goma mancing. Dio akan caghi anak-anak katan . Dikoyak-ghabekkan badan katak tu untuk jadi umpan. Bilo tengok katak-katak itu tercungap-cungap nak mati kono disiek, aku cubo catumkan balik badan-badan katak tu. Bilo aku togo perbuatan zalim dio, mulolah dio nak pernakalkan. Tak lamo lopeh tu, aku kono badi katak. Kek bawah leher jadi kombang kompeh ( kembang kepis) macam leher katak. Lamo jugak mengidap badi katak tu.

dopo : depa tangan
mengotek : katak yang dicangkuk pada mata kail ditarik dalam air, seolah-olah katak berlari. Ikan haruan akan makan menyambar.
goma : gemar
disiek : disiat
koghek: kerat/ rangkap

Tipu ateh makan daun manggis

Ateh Kahiruddin maso kocik memang koporet ( nakal) dan suko nyakat adik-adik. Aku selalu dibulinya. Pernah dia melistik kepala aku dengan batu. Pada satu hari, aku memakan pucuk daun belimbing yang selalu dicampur dalam gulai ikan sungai. Rasanya masam tetapi sedap dimakan mentah. Dia mendesak nak tau apa yang aku sedang makan dan aku pun lari memanjat pokok manggis depan rumah. Dia mengikut jugak.

Akhirnya, aku dapat satu idea untuk menipu dia bagi membalas dendam. Pucuk dau manggis yang aku makan. Dia tak percaya.

"Gilo ko. Bia boto-boto. Kalau tipu aku lompang kang.."

Betul aku cakap. Haji Hassan ( guru agama kami di sekolah) cakap bila kita baca fatehah dan tiga ayat bermula 'Qul' dan hembus tiga kali ke mana-mana pucuk kayu, boleh dimakan masa dharurat. Dia mula percaya sebab bila sebut Haji Hassan, semua orang tahu dia terkenal.

Dia pun capai pucuk manggis dan beri amaran, kalau aku tipu nanti nahas dia kerjakan. Ateh pun mula baca ayat suci dan hembus. Dia mula mengunyah pucuk manggis.. terkebil-kebil mata dia pandang aku. Aku pun mengelonsur turun ke bawah dan lari. Aku dengar dia meludah-ludah atas pokok manggis.

Bagi memastikan aku ada perlindungan dari kena buli. Aku selalu membawa jarum penanti dalam baju. Ateh cukup takut kalau aku bersenjatakan jarum, sebab omak cakap jarum kalau masuk dalam badan akan terus mengejar jantung.

Dipanjat oleh biawak tunggul

Pernah satu petang, aku pergi mencari jentik-jentik dalam tunggul pokok getah untuk pelajaran sains di kelas. Aku bolongeng ( tak berbaju) terbongkok-bongkok mengutip jentik-jentik. Tiba-tiba anjing kami bernama 'kemon' mengejar biawak. Biawak itu berlari memanjat tunggul tempat aku mengutip jentik-jentik, mungkin disebabkan kulit sawo matang aku semacam dengan tunggul getah tu- biawak itu pun memanjat belakangku. Aku mengeliat sakit sebab kuku biawak itu mencakar belakang.

Bagi membuang sial kena panjat biawak, Atuk Keghajo Itam memandikan aku bawah pokok nyior dan siap dikobeh ( kebas) menggunakan sehelai kain hitam.





















星期三, 十一月 16, 2005

Menindik Kobau


Satu pagi di hari minggu, kerbau belaan kami lambat dilepaskan. Aku berdiri di tepi tingkap rumah Atuk Keghajo Itam ( atuk tiri). Atuk baru balik dari perigi dan masih bertuala kopam ( lusuh). Jelas kelihatan panau bertompok-tompok macam peta dunia di badan atuk yang hitam tu.
"Tok, aghi dah nak paneh ni. Kobau bolum bolopeh laie" Aku mengejutkan lamunan atok yang sedang mengadap cermin bulat pecah. kepala atuk botak dan sulah.
" Kok yo pun boghilah salam dulu. Tak baik mengondap-ngondap macam tu.." Atuk menegurku.
" Kobau betino tanduk leweh tu dan saghat nak beghanak. Den nak tindik kobou jantan anak ae.." Atuk bersuara dari dalam rumah. Ini bermakna dua ekor kerbau itu tidak akan dilepaskan.
" Yang lain ekau poie bawak ko bonda. Tongah aghi kang kito tindik kobau" Atuk menjengokkan kepalanya dan kepala botakknya telah memakai songkok putih macam J. Nehru Perdana Menteri India. Atuk nak sembahyang dhuha agaknya.
Bukan senang nak melepaskan kerbau-kerbau dalam kandang. Aku terpaksa berhati-hati kerana dua ekor kerbau itu perlu dipisahkan terlebih dahulu. Menggembalakan kerbau meragut tepi sawah cukup menyeronokkan. Lebih 20 ekor kerbau dalam kawalanku. Pernah satu hari kerbau 'terbabau' ( terkejut) lalu lari meredah sawah padi orang yang sedang menghijau. Aku cuba sekuat hati untuk memintas larian kerbau-kerbau tersebut bagi mengelakkan lebih banyak lopak sawah 'diharuk'. Jika aku dapat menyamai paras kepala kerbau yang paling depan dan membalingkan kayu di hadapan kawanan kerbau itu, bermakna aku sudah dapat memutar larian kerbau ke kanan atau ke kiri. Kalau balingan itu dari arah kiri maka kerbau-kerbau akan berlari ke arah kanan. Petua ini adalah berdasarkan pengalaman aku sendiri dan mungkin ramai orang tak tahu. Namun begitu, pagi itu aku kurang bernasib baik sebab larianku kurang laju disebabkan lumpur sawah terlalu tebal.
Kerbau-kerbau kami telah mengharuk sawah padi orang. Aku melihat seorang lelaki tua yang bemisai dan berjambang tebal berdiri memegang cangkul di hujung pematang sawah. Dia menghayungkan cangkul 'ghembeh' ke arah kerbau kami. Kerbau berputar balik ke belakang. Memang rosak teruk anak padi yang subur menghijau 'dilunyah' kerbau. Dia bertempek-tempek. Aku berlari sekuat kerbau itu menghala ke bonda sungai milik Uwan Saadi.
Itulah peristiwa yang sukar dilupakan. Selepas menambat ibu-ibu kerbau di batang senunduk untuk meragut, aku pun baliklah untuk menolong atuk menindik kerbau jantan di kandang. Anak-anak kerbau biasanya tidak pergi jauh bermain apabila ibu mereka ditambatkan. Aku beritau atuk kejadian kerbau mengharuk sawah orang.
" Dio tu paneh baghan sikit, nasib baik ekau tak diapo-apokan.." Jawab atuk.
Atuk menarik kerbau jantan yang telah diikat dengan tali ke celah dua tunggak pagar yang digunakan untuk menindik kerbau. Tali pengikat dikemaskan bagi mengelakkan kerbau besar itu meronta dan menanduk. Kerja menindik ini memang rumit dan memerlukan kepakaran. Atuk sudah sediakan buluh tajam untuk mencucuk lapisan antara dua lubang hidung kerbau. Penindik diperbuat dari kulit rotan yang telah disulam cantik. Masa menindik ini, peluh atuk keluar bagai bermandikan hujan. Botak kepala atuk bersinar bila dibasahi peluh. Panau atuk berkedipan memancarkan air seni dari ruang-ruang roma kulit hitam kendur itu. Kerbau meronta dan ganas. Bau atuk masam bercampur hamis kerbau jantan yang bagai naik minyak itu. Aku turut kelam kabut membantu atuk mengikut apa sahaja arahannya.
Kerja menindik ini berlangsung hampir sejam mengikut kepakaran seseorang. Kemudian kerbau akan dilepaskan dalam kandang tetapi tali masih terikat ditindik. Kerbau diberikan air untuk minum. Kami juga minum teh o sejuk yang diisikan dalam botol melepaskan penah lelah. Rumput ragut yang telah disabitkan akan diberikan bagi mengisi perut kerbau jantan. Atuk cakap kerbau ini perlu ditambat paling kurang tiga hari bagi memastikan luka tindiknya sembuh dan kerbau itu biasa dengan pendindik di hidungnya. Sebelah petang hingga ke pagi, tali hidung kerbau akan diikat ke atas tunggak pagar. Kerbau tidak dibenarkan tidur ke tanah dan ini bermakna kepala kerbau sentiasa mendongak ke atas sepanjang malam. Aku rasa ini menzalimi kerbau itu. Pernah aku bertanya kenapa kerbau itu disiksa begitu. Atuk menempelak keceluparan mulut aku.
" Ekau apo tau.. den dah buek kojo ni sobolum ekau idup laie" jawab Atuk. Aku rasa ini semua kerana untuk membiasakan kerbau itu dengan penindiknya.
Seingat aku ada kerbau atuk yang putus hujung hidungnya kerana pendindik itu dibuat dari dawai. Besi dawai itu telah memutuskan hidung kerbau apabila kerbau itu meronta ditarik. Oleh kerana itu terpaksalah menggunakan tali pengekang yang dililitkan ke kepala kerbau bawah tanduknya.
Nota:
Kopam : Lusuh buruk
Aghi : Hari
Bolopeh : dilepaskan
Ngondap : mengendap
Saghat : sarat
Haruk : pijak
Ghembeh : sejenis cangkul ke sawah
lunyah : lanyak
Paneh baghan : Panas baran
Leweh : terkulai ke bawah

Gobek sirih



Ghayo tahun ni ( 2005), sompek bawak anak ziarah pusara arwah ayah, uwan, onyang dan abang-abang yang telah mendahului kami. Berdiri tepi kubur sambil mengadah tangan berdoa agar ruh-ruh mereka dilimpahi rahmat Allah jua. Batu nesan uwan Baiyah ( omak ayah) yang kami panggil mak we semacam baru dipasang. Tahun lepas tak ada biarpun beliau meninggal tahun 1987.
Mak we adalah nenek kami yang lemah lembut dan mudah tersenyum. Dia agak pendiam tetapi kami sukar melupakan saat bersamanya. Makan nasi berlauk ikan sungai di rumah mak we sungguh memberi nastolgia. Mak we tak merokok tetapi selalu mengobek sirihnya. Gobek adalah alat yang diperbuat dari buluh, sirih yang telah dicalitkan kapur serta disekalikan sedikit gambir dan pinang masak akan disumbatkan ke dalam gobek itu. Lalu dipasakkan dengan pencucuk buluh. Kemudian dihancurkan menggunakan besi gobek yang selalunya digunakan skrew driver. Bahan-bahan tadi dikocok hingga lumat. Cara ini digunakan oleh orang-orang tua dahulu yang sudah tiada gigi untuk mengunyah sirih. Kami adik beradik selalulah mencuri-curi menggunakan gobek mak we itu.
Masa mak we masih kuat, kami anak cucu akan tidur rumahnya terutama musim cuti sekolah. Hiruk pikuk dan lantai rumahnya macam nak roboh bila kami dan sepupu berlari. Dia tak pernah meninggikan suara untuk marah hanya menegur cara yang paling lembut.
" cubo jalan baik-baik skit.. kang ghoboh pulak lantai tu..." tegurnya.
Md Din anak pak long Mustaffa yang duduk di Kg Dioh Kuala Pilah turut balik masa cuti sekolah. Dia pandai memasak nasi lemak. Sewaktu mak we ke sawah, kami pun berpakat memasak nasi lemak dan goreng ikan bilis untuk dijadikan lauknya. Ada suatu ketika, aku ingin mencuba menanak nasi lemak, mungkin terlebih air santan maka nasi dah jadi bubur. Aku buangkan bubur itu tanah menjadikan makanan ayam. Masak lagi sepot beras, macam itu jugak- buang lagi. Akhirnya aku lari balik ke rumah. Sepupu kami si Mat Botol ( Ahmad Firdaus) paling manja dengan mak we. Lain-lain cucu tidur di katil tetapi Mat tidur dengan Mak we. Kami perhatikan mereka tidur tak lasak tapi macam kayu mati. Mak we kalau tidur, dengkurnya bunyi "shiooot... pushhhhhhh..." perlahan dan lembut.
Mak we pandai 'menuju' kambing atau lembu yang kudis berulat. Dia akan tengok binatang itu dan baca sesuatu. Panjang mucungnya menghembus ke arah kambing yang berulat. Alhamdulillah tak lama selepas itu ulat-ulat akan jatuh dan kudis tersebut sembuh. Walau bagaimanapun, kambing yang kena kurap tak boleh dituju begitu. Kami perlu menangkapnya dan disapu ubat kurap yang diperbuat dari belerang campur minyak tanah. Kulitku jenis tak tahan dan mudah dijangkiti penyakit kulit. Akibat rajin menangkap dan memeluk bebiri mak we maka aku pula diserang penyakit kurap kambing. Bukan main gatal dan memalukan bila kena pada betis. Kalaulah dah kena lambat pulak baiknya. Ateh Khairuddin kalau kena kurap, dia akan kikis kurap itu dengan pisau dan tabur debu ubat nyamuk.. pedih tapi cepat sembuh.
Dalam tahun 1997, mak we makin uzur dan tinggal di rumah pusakonya. Rumah itu dimiliki oleh Mak Lang Awo ( Maimunah) iaitu adik arwah ayah. Dia tinggal di ruang dapur bagi memudahkannya ke bilik air. Kalau dah tak tahan selalulah dia menaburkan berak dan kencing. Aku pernah menziarahinya di ward hospital Kuala Pilah masa sakit tua. Sambil pegang tangannya yang dah berkedut seribu itu, aku menasihatinya supaya jangan lupa bertasbih dan tidak meninggalkan sholat wajib. Alhamdulillah, sehingga saat akhirnya dia amat menjaga sholatnya. Pernah bangun pukul 2-3 pagi untuk sholat subuh kerana pada perasaannya sudah tiba waktu subuh. Dia meninggal dunia di rumah pusako itu dengan mudah sekali.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.