星期三, 十一月 16, 2005

Gobek sirih



Ghayo tahun ni ( 2005), sompek bawak anak ziarah pusara arwah ayah, uwan, onyang dan abang-abang yang telah mendahului kami. Berdiri tepi kubur sambil mengadah tangan berdoa agar ruh-ruh mereka dilimpahi rahmat Allah jua. Batu nesan uwan Baiyah ( omak ayah) yang kami panggil mak we semacam baru dipasang. Tahun lepas tak ada biarpun beliau meninggal tahun 1987.
Mak we adalah nenek kami yang lemah lembut dan mudah tersenyum. Dia agak pendiam tetapi kami sukar melupakan saat bersamanya. Makan nasi berlauk ikan sungai di rumah mak we sungguh memberi nastolgia. Mak we tak merokok tetapi selalu mengobek sirihnya. Gobek adalah alat yang diperbuat dari buluh, sirih yang telah dicalitkan kapur serta disekalikan sedikit gambir dan pinang masak akan disumbatkan ke dalam gobek itu. Lalu dipasakkan dengan pencucuk buluh. Kemudian dihancurkan menggunakan besi gobek yang selalunya digunakan skrew driver. Bahan-bahan tadi dikocok hingga lumat. Cara ini digunakan oleh orang-orang tua dahulu yang sudah tiada gigi untuk mengunyah sirih. Kami adik beradik selalulah mencuri-curi menggunakan gobek mak we itu.
Masa mak we masih kuat, kami anak cucu akan tidur rumahnya terutama musim cuti sekolah. Hiruk pikuk dan lantai rumahnya macam nak roboh bila kami dan sepupu berlari. Dia tak pernah meninggikan suara untuk marah hanya menegur cara yang paling lembut.
" cubo jalan baik-baik skit.. kang ghoboh pulak lantai tu..." tegurnya.
Md Din anak pak long Mustaffa yang duduk di Kg Dioh Kuala Pilah turut balik masa cuti sekolah. Dia pandai memasak nasi lemak. Sewaktu mak we ke sawah, kami pun berpakat memasak nasi lemak dan goreng ikan bilis untuk dijadikan lauknya. Ada suatu ketika, aku ingin mencuba menanak nasi lemak, mungkin terlebih air santan maka nasi dah jadi bubur. Aku buangkan bubur itu tanah menjadikan makanan ayam. Masak lagi sepot beras, macam itu jugak- buang lagi. Akhirnya aku lari balik ke rumah. Sepupu kami si Mat Botol ( Ahmad Firdaus) paling manja dengan mak we. Lain-lain cucu tidur di katil tetapi Mat tidur dengan Mak we. Kami perhatikan mereka tidur tak lasak tapi macam kayu mati. Mak we kalau tidur, dengkurnya bunyi "shiooot... pushhhhhhh..." perlahan dan lembut.
Mak we pandai 'menuju' kambing atau lembu yang kudis berulat. Dia akan tengok binatang itu dan baca sesuatu. Panjang mucungnya menghembus ke arah kambing yang berulat. Alhamdulillah tak lama selepas itu ulat-ulat akan jatuh dan kudis tersebut sembuh. Walau bagaimanapun, kambing yang kena kurap tak boleh dituju begitu. Kami perlu menangkapnya dan disapu ubat kurap yang diperbuat dari belerang campur minyak tanah. Kulitku jenis tak tahan dan mudah dijangkiti penyakit kulit. Akibat rajin menangkap dan memeluk bebiri mak we maka aku pula diserang penyakit kurap kambing. Bukan main gatal dan memalukan bila kena pada betis. Kalaulah dah kena lambat pulak baiknya. Ateh Khairuddin kalau kena kurap, dia akan kikis kurap itu dengan pisau dan tabur debu ubat nyamuk.. pedih tapi cepat sembuh.
Dalam tahun 1997, mak we makin uzur dan tinggal di rumah pusakonya. Rumah itu dimiliki oleh Mak Lang Awo ( Maimunah) iaitu adik arwah ayah. Dia tinggal di ruang dapur bagi memudahkannya ke bilik air. Kalau dah tak tahan selalulah dia menaburkan berak dan kencing. Aku pernah menziarahinya di ward hospital Kuala Pilah masa sakit tua. Sambil pegang tangannya yang dah berkedut seribu itu, aku menasihatinya supaya jangan lupa bertasbih dan tidak meninggalkan sholat wajib. Alhamdulillah, sehingga saat akhirnya dia amat menjaga sholatnya. Pernah bangun pukul 2-3 pagi untuk sholat subuh kerana pada perasaannya sudah tiba waktu subuh. Dia meninggal dunia di rumah pusako itu dengan mudah sekali.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya. Amin.

0 Comments:

发表评论

<< Home