星期二, 十月 11, 2005

Hari-hari akhir bersama ayah


Ahad dalam tahun 1985, ayah yang dikasihi meninggal dunia setelah terlantar sekian lama akibat sakit yang dideritainya. Ayah ditakdirkan mengidap barah usus berpunca buasirnya. Doktor telah menasihatkkan ayah supaya melakukan pembedahan bagi mengubatkan penyakit itu, tetapi ayah phobia sikit kerana pada pandangannya ia akan mengendung plastik najis di perut selepas pembedahan nanti. Ayah lari- keluar dari ward hospital.

Tubuh ayah semakin kurus dan akhirnya lemah. Berjalan pun terpaksa bertatih. Ayah lebih selesa berbaring di pangkin rumah ( rumah penginapan di Kg Geylang, Pertang itu macam pondok sementara sahaja sebab rumah baru di sebelahnya belum siap). Suatu petang, sebelum balik ke KL. Aku perhatikan ayah diam dan berbaring. Sedihnya hati melihat keadaan ayah. Hatiku berbelah bagi dan kecewa kerana sepanjang cuti itu, aku lihat ayah tidak bersholat fardhu. Setelah bersiap untuk balik, aku beranikan diri untuk berbual dengannya. Bercakap tentang kewajipan beribadah dan memberi nasihat kepada ayah memang berat diluahkan. Sejak kecil kami adik beradik memang kurang terbuka dalam berbincang dengan ayah, emaklah jadi sasaran untuk mintak sesuatu dan mengadu masalah.
Aku hulurkan tangan untuk bersalam. Ayah menyambut salamku dan aku rasa sejuk jari-jemarinya. Bola matanya pudar dan cengkung mata ayah. Aku dapat merasakan ayah berada dalam kepayahan dan aku risau jika usianya tidak berpanjangan. Ayah bertanya, bila nak habis belajar. Masa itu aku di semester akhir di ITM. Aku tahu ayah menaruh harapan yang tinggi supaya aku berjaya dan itulah harapan ayah sejak dahulu. Ayah inginkan agar ada anaknya yang berjaya dalam pendidikan tinggi. Ayah dan emak sudah banyak berkorban untuk anak-anak dan keperitan hidupnya untuk mencari wang saku untuk aku semasa belajar dahulu memang tidak dapat aku lupakan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik mereka.
"Ayah.., kita orang lelaki tiada cuti untuk meninggalkan sembahyang. Kalau sakit pun kita mesti sembahyang. tak boleh berdiri, kita duduk atau sambil baring... suruh emak tolong ambikkan wuduk" Itulah perkataan yang aku paksakan keluar dari mulutku. Aku bersedia menerima riaksi ayah dan dailog itu memang berat untuk dilafazkan. Aku berdiri di sisi kiri ayah, peliknya ayah diam sahaja. Aku beredar dan bercakap dengan emak supaya membantu ayah ketika berwuduk atau memberi perangsang kepada ayah supaya menghabiskan saat-saat begitu menghampiri Allah. Emak sebaliknya marah kerana menyangka aku menuduh ayah tidak sembahyang. Aku menjelaskan kepada emak bahawa sholat 5 waktu itu wajib dan orang lelaki tiada sebab untuk uzurkan diri.
Seminggu lepas itu, ayah di bawa balik ke kampung asal kami di Tengkek. Ibu ayah ( Baiyah Daud) telah menangis dan tersinggung bila melihat ayah terlantar di gobok buruk itu sedangkan rumah bosa di Tengkek di tinggalkan. Dia tak mahu anaknya terbiar begitu dan duduk jauh dari sanak saudara. Di Pertang itu, saudara mara memang tiada. Anak-anak pula semuanya tinggal di luar. Ateh Khairuddin pun bawalah ayah pindah ke Tengkek. Rumah di Tengkek terpaksa dibersihkan dan dimasukkan paip air tetapi bekalan letrik terpaksa menumpang rumah Mak Wo Liah sebelah rumah. Masa di rumah ini, memang ramailah saudara mara yang menziarahi ayah. Ibu mertua dan isteriku juga ada datang menziarahi ayah kerana mereka memang terhutang budi dengan ayah, ayah ketika bertugas menjadi guru besar di SK Sg Jelutong telah membenarkan ibu mertuaku yang baru kematian suami untuk berniaga di kantin sekolah. Ayah mungkin menaruh hati untuk menerima isteriku sekarang sebagai menantunya. Maklumlah masa kecilnya, isteriku selalu dikendung menaiki vespa ayah mengikut Zaidah tidur 2-3 malam di rumah.
Hujung minggu itu, giliran aku menjaga ayah. Pagi itu ayah menunjukkan perubahan, dia suruh emak bersihkan dirinya, gosok gigi dan mencukur misai. Aku dan Zaidah ( Ijai) bergilir-gilir menjaga ayah. Ijai dan Iyah menasihati aku supaya sambung cuti rehat dan tidak balik ke KL petang itu kerana pada pandangannya, sakit ayah semakin berat. Malam sebelumnya, kami dihimpit kebuntuan apabila ayah merayu supaya kami menghantarnya ke hospital. Dia bertanya, adakah kami sanggup membiarkan dirinya begitu. Aku mengambil keputusan untuk menghantar ayah ke hospital bagi mendapat rawatan sepatutnya, ayah kekurangan air. Namun emak pula tidak bersetuju kerana Allahyarham Tok Kudin berpandangan ayah tiada harapan sembuh dan biarlah menghembuskan nafasnya di kampung sahaja. Aku menunaikan sholat hajat dan istiqhorah untuk mencari jalan penyelesaian.
Tengahari itu, ayah kerap memanggil aku supaya berada di sisinya. Kami adik beradik saling bergilir menjaga ayah yang terbaring di atas tilam tipis. Air kencing ayah cukup hanyir kerana masalah dalam perutnya. Ayah sudah lama tidak membuang air besar kerana saluran najisnya tersumbat oleh barah. Perut ayah membesar dan angin yang tersekat dalam perut ayah kelihatan berlegar . Ketika itulah kami terpaksa menekan perut ayah bagi menghentikan peredaran angin tersebut. Ayah cukup sakit bila angin itu berlegar begitu. Masa Ijai menyuapkan bubur ke mulut ayah, ayah telah tersedak dan menyemburkan semula bubur itu. Ayah kemudian berkata, " Dah sampai masanya ayah ni.."
Aku merasakan ayah sudah hampir dijemput pergi . Aku terpaksa mempercepatkan sholat asar kerana ayah memanggilku supaya berada di sisinya. Lebih kurang 4.30 petang itu, ayah sudah mula resah dan kepayahan. semua adik beradik balik secara kebetulan petang itu dan berkumpul dalam bilik. Cuma Along Sharifudin dan keluarga sahaja belum sampai. Atok Kudin dan Atok Kitam datang membaca surah Yasin. Atok Lajin juga turut serta. Atok Jalil berdiri di pintu, dia memanggil ayah.
" Din! ingat..?" Ayah berpaling kepada Atok Jalil.
"Ingat kepada Allah.." itulah pesanan ringkas Atok Jalil.
Atok Kitam pula mengingatkan ayah supaya melafazkan "Hu..hu " itu ucapan yang begitu asing bagi pendengaranku ( mungkin itu bagi pengamal tarekat). Aku dengan pantas menyuruh ayah bertahlil. Saat itu memang kritikal dan cemas. Adik beradik semuanya bertahlil dan Atok Kudin serta Atok Lajin meneruskan membaca Yasin. Emak menyapukan air yasin ke muka ayah. Ayah minta ubat panadol untuk mengurangkan sakit perutnya. Emak bawa ubat ( buka panadol) dan suapkan ke mulut ayah. Sukar betul ayah nak menelan ubat itu. Mungkin itu rezeki ayah yang terakhir.
Tangan ayah mengapai panjang seperti mahu seseorang. Emak panggil ayah dan menyuakan Mak We ( ibu ayah) kerana ayah mungkin mendapatkan ibunya. Ibunya berkata,
"Din.. omak ni. Omak halalkan susu mak"
Ayah melepaskan tangan ibunya. Dia menyebut namaku. Aku berada di kiri ayah dan memegang tangan ayah. Inilah ungkapan yang amat menyentuh hatiku sebagai anak. Ayah mengharapkan bantuanku..
" Nak buat apa sekarang?" pertanyaan ayah seolah-olah meminta aku memberi menentukan sasaran akhirnya. Aku bukan anak yang terdidik dengan pendidikan agama yang kukuh tetapi kecenderungan aku waktu itu dalam kerja ibadah seolah-olah menguatkan ayah untuk mengharapkan sesuatu dariku. Dengan spontan aku berkata,
"Ayah.., ayah akan menemui Allah. Tuhan yang menjadikan kita. Sebelum nyawa ayah sampai ke kerongkong.. ayah mintak ampun dengan Allah.." itulah ucapan yang dapat aku bantu untuk ayah disayangi. Airmataku jatuh berderai. Ayah berkata " Ya Allah, ampuni dosaku" inilah ucapan penghabisan ayah. Masing-masing bertahlil dan Sarin membisikkan tahlil ke telinga kanan ayah. Mulut ayah kelihatan bergerak seperti mengikut tahlil kami. Kaki ayah sudah berhenti bergerak. Kemudian bola mata ayah tegak tajam melihat ke atas, raut muka ayah amat terlalu sayu dan seolah-olah kehadiran tetamu dari Allah telah sampai. Emak menyapukan semula ayat yasin ke muka ayah tetapi mata ayah tidak berkedip. Kami bertahlil dan Sarin masih membisikkan tahlil ke telinga ayah. Ayah telah pergi jauh.. kami mencium dahi ayah. Ayah menghembuskan nafas terakhirnya waktu mahgrib itu.
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa ayah kami dan berkatilah rohnya. Amin.