星期四, 十一月 17, 2005

Kono badi katak


Badi katak

Momancing haruan bosa guno kail kotek panjang. Buluh kail yang digunokan panjang lobih limo dopo sobab sonang dihayun ko tongah sungai. Umpan ae anak-anak katak hijau yang banyak dalam sawah. Ghamai yang mengotek haruan guno kail ni, Acu Cangking iaitu pangkat bapak sodaro kami paling goma mancing haruan. Dio suko bersiul dan ponah jadi drummer kugiran kampung Tengkek bawah pimpinan Pak Lang Mat Sah Komaman. Ghumah dio lopeh kawin kek tongah sawah toponcil dari ghumah oghang lain. Cangking ni namo sobona ae Abdul Kadir bin Lanjung. Maso kocik kami reka pantun duo koghek khusus untuk dio:

Jongking kalo ula lipan
Cangking gilo omak ae Sintan

(Jengking kala ular lipan
Cangking gila emaknya Sintan)

Ateh Khairuddin turut goma mancing. Dio akan caghi anak-anak katan . Dikoyak-ghabekkan badan katak tu untuk jadi umpan. Bilo tengok katak-katak itu tercungap-cungap nak mati kono disiek, aku cubo catumkan balik badan-badan katak tu. Bilo aku togo perbuatan zalim dio, mulolah dio nak pernakalkan. Tak lamo lopeh tu, aku kono badi katak. Kek bawah leher jadi kombang kompeh ( kembang kepis) macam leher katak. Lamo jugak mengidap badi katak tu.

dopo : depa tangan
mengotek : katak yang dicangkuk pada mata kail ditarik dalam air, seolah-olah katak berlari. Ikan haruan akan makan menyambar.
goma : gemar
disiek : disiat
koghek: kerat/ rangkap

Tipu ateh makan daun manggis

Ateh Kahiruddin maso kocik memang koporet ( nakal) dan suko nyakat adik-adik. Aku selalu dibulinya. Pernah dia melistik kepala aku dengan batu. Pada satu hari, aku memakan pucuk daun belimbing yang selalu dicampur dalam gulai ikan sungai. Rasanya masam tetapi sedap dimakan mentah. Dia mendesak nak tau apa yang aku sedang makan dan aku pun lari memanjat pokok manggis depan rumah. Dia mengikut jugak.

Akhirnya, aku dapat satu idea untuk menipu dia bagi membalas dendam. Pucuk dau manggis yang aku makan. Dia tak percaya.

"Gilo ko. Bia boto-boto. Kalau tipu aku lompang kang.."

Betul aku cakap. Haji Hassan ( guru agama kami di sekolah) cakap bila kita baca fatehah dan tiga ayat bermula 'Qul' dan hembus tiga kali ke mana-mana pucuk kayu, boleh dimakan masa dharurat. Dia mula percaya sebab bila sebut Haji Hassan, semua orang tahu dia terkenal.

Dia pun capai pucuk manggis dan beri amaran, kalau aku tipu nanti nahas dia kerjakan. Ateh pun mula baca ayat suci dan hembus. Dia mula mengunyah pucuk manggis.. terkebil-kebil mata dia pandang aku. Aku pun mengelonsur turun ke bawah dan lari. Aku dengar dia meludah-ludah atas pokok manggis.

Bagi memastikan aku ada perlindungan dari kena buli. Aku selalu membawa jarum penanti dalam baju. Ateh cukup takut kalau aku bersenjatakan jarum, sebab omak cakap jarum kalau masuk dalam badan akan terus mengejar jantung.

Dipanjat oleh biawak tunggul

Pernah satu petang, aku pergi mencari jentik-jentik dalam tunggul pokok getah untuk pelajaran sains di kelas. Aku bolongeng ( tak berbaju) terbongkok-bongkok mengutip jentik-jentik. Tiba-tiba anjing kami bernama 'kemon' mengejar biawak. Biawak itu berlari memanjat tunggul tempat aku mengutip jentik-jentik, mungkin disebabkan kulit sawo matang aku semacam dengan tunggul getah tu- biawak itu pun memanjat belakangku. Aku mengeliat sakit sebab kuku biawak itu mencakar belakang.

Bagi membuang sial kena panjat biawak, Atuk Keghajo Itam memandikan aku bawah pokok nyior dan siap dikobeh ( kebas) menggunakan sehelai kain hitam.





















0 Comments:

发表评论

<< Home