星期五, 三月 03, 2006

Pak Lang mati????



Innalillahi-wainnahirojiuun... lebih kurang 6.45 pagi khamis bertarikh 2 Mac 2006 bersamaan 2 Rabiawal 1427H kami dikejutkan berita pak lang Mahmud telah kembali ke rahmatullah. Pagi itu aku baru menyuap roti bakar dan Nabil bercerita tentang penglibatan dia dalam sukan di sekolah ahad nanti. Tiba-tiba telefon berdering, Ros bergegas mengangkatnya dan kemudiannya memberi tahu Iler ( Hasnah kakakku) menyampaikan berita pak lang dah meninggal dunia. Pakat punya pakat, kami mengambil keputusan untuk menjemput Afdhal yang telahpun pergi ke sekolah untuk dibawa balik bersama. Tak sempat nak bertanya penyakit dan bila pak lang menghembuskan nafas terakhirnya.
Kami bertolak balik jam 8.00 pagi dan singgah mengganti minyak hitam kereta di Bandar Baru Sg Buloh. Dalam perjalanan kami sempat mengimbas kembali perbincangan kami untuk menghantar Afdhal dan Nabil belajar seni silat pulut yang diwarisi pak lang di cuti sekolah nanti sebelum ini. Nampaknya, tiada rezeki anak-anak untuk mewarisi seni itu. Pak lang memang mempunyai kemahiran dalam silat pulut iaitu gerak tari silat yang menarik untuk majlis perkahwinan. Gerakan lembut tangan dan ekor matanya ketika menggayakan pencak silat itu di depan raja sehari begitu menarik. Apatah lagi kalau ada pasangan ( lawan) turut serta dan kemuncaknya ialah pesilat akan cuba menjamah pulut kuning di depan pengantin. Mereka akan saling tepis menepis untuk mendahului lawan. Ini semua tinggal kenangan belaka dan benak fikiran dibungkam keresahan dalam perjalanan balik itu.
Jam 11.30 pagi, kami sampai di rumahnya. Telah banyak kenderaan di tepi jalan yang sempit ke rumah pak lang dan sanak saudara sudah ramai datang. Aku melihat dua ekor beruk peliharaan pak lang turut meramaikan majlis. Anak beruk yang tertambat di kanan laluan menjadi perhatian kanak-kanak kerana cuba mencuit hati dengan telatahnya. Dia akan mencapai sesiapa yang menghampirinya dengan tangan atau kaki. Kemudian memutarkan badan ke belakang dan ada seorang budak lelaki yang berani menggosok kepala dan belakangnya, lalu anak beruk itu semacam memutahkan air liurnya keluar bergelembungan.
Beruk betina di depan tangga pula bagai turut bersedih ditinggalkan tuannya. Dia mempunyai jasa yang besar kerana melalui tubuh kudratnya itu pak lang dapat menambah pendapatan harian mengambil upah memanjat kelapa. Sebatang kelapa dibayar RM5.00 dan pak lang tidak lagi mengambil upah dengan buah kelapa kerana tidak berbaloi menerima upah buah kelapa masak. Di kampung boleh dikatakan semua orang ada pokok kelapa dan mustahil motor kapcai pak lang mampu membawa buah-buah kelapa upahan tersebut. Yang pasti beruk betina itu mesti duduk di raga depan dan menyinggai sesiapa yang berselisih di depannya. Pak lang kata, dia juga dapat upah minum oren dan gula-gula hacks apabila pak lang berhenti minum di warung kopi di kampung.
Tengahari itu, beruk betina cuba menyeluk poket seluar tetamu tua yang turut hadir. Beliau terkejut kerana tidak menyangka nyaris kena 'pick pocket' memang telatah beruk peninggalan pak lang itu mencuit hati. Siapakah yang akan mewarisi beruk-beruk tersebut nanti? mampukah mereka berinteraksi dan saling mengenal hati budi masing-masing seperti pak lang?
Setelah bersalaman dengan sanak saudara, aku ke bilik air di luar rumah untuk berwuduk. Dulunya kawasan bilik air itu adalah bekas rumah ( layak dipanggil pondok) pak lang dan mak lang Yam. Di situlah kami semasa kecil duduk bersila di atas lantai buluh atau pelepah batang pinang menjamah dodol di hari raya. Masa itu tiada duit angpau yang dinanti dan pak lang memang bengkeng. Mak lang Yam saja yang terbongkok-bongkok melayani kami. Namun selepas kami dewasa, pak lang benar-benar berubah dan cukup peramah. Pengalaman memburu dan masa muda sering dikongsi bersama bila bersantai dengan anak-anak buah. Rokok pucuknya turut digulung dan dicucuh api lighter sambung menyambung, pekena pulak sirih omak.
Hari raya yang lepas, aku tak sempat menziarahinya di rumah kerana hujan lebat betul dan jalan ke rumah pak lang begitu becak locah. Tiada tempat untuk parking kereta. Namun kami masih sempat bersalaman ketika pak lang datang ke rumah omak.
Di tengah serambi rumah, jenazah pak lang terbujur melunjur ke kiblat. Aku melangkahi antara penziarah yang ramai di serambi itu. Ros isteriku duduk tersimpuh di sebelah mak cu CikYong dan lain-lain ibu saudara yang aku sendiri lupa nama mereka lantaran terlalu lama merantau ke negeri orang. Sarin dah duduk membaca surah yassin. Aku melihat kaum ibu sibuk menyediakan kain kapan untuk pak lang. Di ruang tengah, kaum bapa menyiapkan alatan untuk memandikan jenazah. Aku pun mencapai buku surah yassin yang lusuh di tepi bahagian kepala pak lang. Aku duduk bersila di sebelah kanannya. Membuka kaca mata dan lalu menitih membaca ayat suci. Aku membacanya perlahan agar suaraku tidak menggangu hadirin tetapi tanpa sedar mungkin nada suaraku mencapai digit yang boleh didengari audien di ruang tetamu. Seorang tua yang kelihatan uzur mengambil tempat di kiriku dan bersalam. Dia menyingkap kain batik lepas yang menutup bahagian kepala pak lang. Aku kemudiannya turut menarik hujung kain itu dan melihat pak lang yang bagai pengantin lena di peraduannya. Beliau kemudian mula membaca surah suci 'merangkak' mungkin kerana keupayaan peti suara dan bola matanya yang lemah dipaut usia.
Selepas sedikit berdoa agar ruh pak lang dirahmati Allah, aku pun turun ke tanah. Pak lang semasa hidupnya bagai berkongsi kefahaman politik denganku. Beliau mungkin ahli Pas tetapi aku tidak pernah bertanya tentang keahliannya. Beliau tak miss untuk menghadiri ceramah-ceramah politik atau agama yang dianjurkan oleh Pas. Sebelum ini aku datang mendapatkan secebis kisah hidup Maulana Lebai Maadah Layang yang terkenal itu dan beliau turut menyerahkan beberapa helaian buku ( telah lusuh) penubuhan sekolah agama yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah dalam tahun 1937.
Pak lang sebetulnya adalah salah seorang pengikut kamu muda ( tidak bermazhab) dan beliau berguru secara tidak langsung dengan atuk Jalil anak murid Tuan Guru Lebai Maadah. Pengikut ini tidak menyenangi adat mengadakan kenduri arwah dan bertahlil sebagaimana budaya masyarakat sekarang. Kalau semasa hidupnya mereka 'membidaahkan' kerjalaku yang dianggap tidak sunnah maka bagaimana pula kaum keluarga peninggalannya untuk mengadakan majlis tersebut bermula malam pertama dia dikebumikan?
Jenazah pak lang dimandikan dan aku sempat meninjau dari tangga dapur. Entah kenapa kali ini aku semacam tidak terlintas untuk turut memandikan jenazah kerabat sendiri. Aku melihat jenazah pak lang dimandikan dengan dilapik kain kapas putih yang nipis, bila basah maka menampakan anggota tubuhnya. Aku hairan kenapa ketua yang memandikannya ( Basiron) tidak menyedari aurat begini. Aku menyuruh salah seorang dari mereka menutup aurat itu dan beliau pun mengambil sehelai kain kecil yang digunakan untuk membersihkan rongga dalam jenazah dan menutupnya. Aku kira itu tidak memadai dan aku pun melangkah turun.
Jenazah pak lang setelah dikapankan pun diusung ke van jenazah yang didatangi dari masjid Kg Jerejak untuk di bawa ke masjid Kg Tengkek. Pak lang tidak dikebumikan di pusara orang Islam yang berhampiran ( setempat dengan kubur Maulana Lebai Maadah) di Kg Jeram kerana kedudukan kubur di atas bukit. kaum wanita dan orang-orang tua mesti mencungap untuk ke lokasi itu. Aku sendiri pernah kali pertama ke sana bersama Aswan ketika mencari kubur Lebai Maadah. Mungkin pak lang telah disuratkan akan disemadikan berhampiran sanak saudaranya yang lain. Inilah kata orang 'jodoh pertemuan, rezeki dan kubur mana kita disemadikan' adalah dalam ketentuan Allah jua.
Sebelum turut ke masjid, aku sempat mengambil gambar mak long Feah ( kakak omak). Dia kelihatan telah uzur tua dan kurus pucat. Aku hanya memerhatikannya dari jauh sahaja kerana mak long Feah ini kurang mesra dengan kami dan seakan masih mengekalkan gaya masa mudanya. Omak pun berjalan menjauhinya dan dipapah isteriku menuruni bukit depan rumah pak lang. Omak semacam serik diperhina oleh mak long walaupun omak dah cuba memulihkan sengketa yang direka cipta oleh kakaknya yang sulong itu. Mereka keduanya telah uzur tetapi perang dingin mereka semacam telah berpatah arang. Tetapi omak masih tertanya-tanya kenapa hitam sangat hati kakaknya untuk menerima kehadiran dia sebagai adik. Ini yang turut menghantui pemikiran kami. Tiba-tiba Anum anaknya yang sebaya dengan Iyah menyapa. Beliau bersalam dengan Iyah dan aku turut menghulurkan tangan bersalaman. Dia tidak seperti ibunya dan begitu juga angah Nuar dan along Duan anaknya yang masih berbaik sangka dengan kami. Dulu masa kecil, kami selalu bermain dengan Anum dan dia pernah memecahkan cermin almari mek up omak. Omak tak kisah....
Selepas sholat zuhur berjamaah di masjid, aku kira itulah ketikanya dewan masjid diramaikan orang selain hari-hari raya dan jumaat. Jenazah pun disembahyangkan oranglah. Kemudian usungan ditandu orang ke kereta jenazah. Setiap kali kaki melangkah (sebanyak 3 kali) imam menyebut "al fatehah..." maka semua yang bersama pun berhenti untuk membacanya.
Aku bertanya dengan Dollah yang dikatakan orang yang terakhir bersama pak lang. Pak lang dikatakan menghembuskan nafas terakhir di dalam hutan tebal jam 12 tengah malam ketika keluar memburu dengan Dollah. Pak lang telah terjatuh dan meninggal di tempat kejadian mungkin kerana sesak nafas atau semput setelah mendaki lebih 4 bukit ke dalam hutan tebal itu. Sudah beberapa kali beliau mengalami pitam dalam hutan dan sesat tetapi pak lang masih berdegil untuk keluar memburu. Memburu sudah menjadi darah dagingnya. Harimau atau lolongan jembalang hutan tidak menjadi halangan baginya. Bila Dollah sudah pasti pak lang sudah meninggal dunia, beliau mungkin takut menerima mehnah ini maklumkan hanya mereka berdua sahaja di malam gelap dalam belantara rimba. Pengalaman dalam hutan menjadikan Dollah cekal dan tidak patah semangat. Dia membetulkan jenazah pak lang dan meletakkan lampu suluh di celak ketiak pak lang. Beliau harap suluhan lampu suluh itu nanti memudahkan pasukan pencari kelak. Dia pun keluar berjalan pulang untuk mendapatkan bantuan. Hampir 3 jam beliau meredah hutan tebal dengan perasaan yang mungin cuba disembunyikannya.
Pasukan pencari di kalangan saudara mara tiba jam 3 pagi setelah bersusah payah mencari lokasi jenazah. Mungkin ada sesuatu yang ingin menyukarkan mereka ke tempat itu. Jenazah selamat di bawa keluar selepas waktu subuh.
Dikubur aku sempat berdiri sejenak di kubur ayah, mak uwe Baiyah, Ijo dan angah. Membaca fatehah agar ruhnya dirahmati Allah. Ateh Khairuddin turut menimbuskan tanah untuk meratakan tanah kubur pak lang. Bahagian pundak kepala ateh semakin tidak berambut dan badannya masih gemuk. Dia sudah menjangkau usia 51 tahun sekarang dan benar-benar mewarisi usia emas. Telah semakin hilang ketampanan dan keceriaan. Seusai majlis talkin, aku dan Afdhal meluru mengekorinya di celah barisan kubur. Dia ingin beredar tanpa mempedulikan adik beradik yang mungkin turut memerhatikannya. Ateh cuba menyisihkan dirinya kerana konflik diri yang diserasikan. Dia bermasalah tetapi percaturan hidupnya seakan kelam jika tidak berusaha sendiri mencari jalan pulang. Ateh masih menafikan status omak dalam dirinya!!
Aku menarik tangan kanannya dari belakang. Dia berpaling dengan senyum tawar. Kemudian anakku Afdhal bersalaman dan aku tidak mahu anak-anakku turut terjebak dalam kancah sengketa. Aku berpendapat adalah tidak wajar kewarasan dan kedewasaan turut serta mencarik ukhwah. Aku tidak tau adakah ateh hanya layak menjadi 'penggali kubur' kalau sebelum ini dia balik menggali kubur untuk Ijo dan kini untuk pak lang pula. Dia datang awal menyiapkan kubur dan kemudian dia juga yang turut menimbuskan lubang yang digali. Mungkinkah nanti dia seperti itu juga... gali dan timbus lubang untuk omak?
Link