星期三, 十一月 30, 2005

Pak Lang Mahmud


Pak lang kini dalam usia menjangkau 70, masa mudanya cukup terkenal di padang bola. Dia suka mengambil posisi 'wing' sebelah kiri kerana tenangan kaki kirinya cukup kuat. Jika bola berada di kakinya, beliau lantas berlari pantas dan mengelicik lawan. Awas bila matanya sudah menjeling mencari rakan atau sasaran, dia tidak akan teragak-agak menghayun sepakan kiri. Pak lang dianggap brutal , baginya pantang diacah-acah semasa mengawal bola. Kasut bola Pak lang jenis kain kanvas sahaja. Ada juga rakan sepermainan merungut:
" Mamud, kok dapek bola tak nampak kawan"
Mukanya yang agak bengis dan bengkeng itu juga menjadikan anak-anak saudara kecut perut dengannya. Pak lang semacam kurang gemar bergaul dengan anak-anak apatah lagi dia tidak mempunyai anak melalui perkahwinannya dengan Mak lang Yam. Sukar sangat nak tengok beliau memberikan senyuman kepada kami.
Iyah patah kaki
Suatu ketika, Iyah patah kaki bila terjatuh dari pokok ubi gajah tepi pagar sekolah. Alan Tahu cakap Iyah nak jadi Tarzan masa bergayut di dahan ubi. Omak panggil Pak lang untuk urutkan kaki Iyah. Iyah merah padam menahan sakit bila Pak lang mengurut kakinya.
"Patah nii.. " Pak lang memecahkan keheningan petang itu. Dia tak banyak cakap dan terus balik. Petang itu juga Iyah dibawa ke hospital Kuala Pilah. Sepanjang duduk dalam ward, macam-macam Iyah mintak omak belikan. Omak akur dengan rengekan Iyah walaupun omak sendiri tak cukup duit.
Allahyarham angah Md Diah ( meninggal dunia April 1968) sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Seremban, kerap menyebut nama Pak lang. Angah merindui Pak lang walaupun bapa saudaranya itu bengkeng. Angah gagal bertemu Pak lang hingga saat akhirnya. Bila jenazah angah di bawa pulang, Pak lang pula yang sibuk menyiapkan rangka penutup jenazah yang diperbuat dari pelepah rumbia.
Silat pulut
Orang kampung semua tau, kalau ada majlis kenduri kahwin Pak lang akan dipelawa menunjukkan kemahirannya dalam seni tarian silat pulut. Pak lang dengan gaya tersendiri akan mempamirkan silatnya. Semenjak dah tua dan sakit-sakit belakang, Pak lang dah tak larat nak melayani jemputan orang.
Zaman tua Pak lang
Bila kami dah dewasa, perangai Pak lang banyak berubah. Dia mula memberi perhatian kepada kami dan gemar berbual panjang sambil menghisap rokok daun pucuknya. Ada sahaja bahan yang diceritakan Pak lang. Pengalaman memburu di hutan, jumpa hantu dan sehingga beruk peliharaannya kemaruk minum oren pun Pak lang ceritakan.
Beruk
Beruk Pak lang memang terrer bila memulas tandan kelapa. Beruknya akan menyergah dan menyeringai gigi taring kepada sesiapa yang lalu berhampirannya. Pak lang sayangkan beruknya sebab melalui tenaga beruk itulah dia dapat mengumpulkan sebahagian duit pergi haji beberapa tahun yang lalu. Masa di Mekah, orang biasanya menalipon sanak saudara bertanyakan khabar kesihatan diri tetapi Pak lang asyik bertanya tentang beruk dan motor kapcainya. Agaknya bagi Pak lang " have beruk will travel" dulu sampai naik lekuk palang handle basikalnya diduduk beruk. La ni raga motor kapcai itu pulak berkarat bergesel dengan tombong punggung beruknya. Kalau musim nak raya, sibuklah Pak lang dengan beruknya. Pak lang dapat upah wang atau dua-tiga tangkai nyior, manakala beruknya diberi gula-gula hacks atau air oren di kedai.
Beruk itu dengan Pak lang memang kamcing betul. Saat-saat pilu jelas kelihatan masa Pak lang nak berangkat ke Mekah. Beruk itu macam tau maksud pemergian tuannya. Mungkin kerana itulah Pak lang semacam ada sentimental value dengan beruknya.
Gula Enau
Selain mengambil upah mengambil kelapa, Pak lang juga ada mengusahakan projek tradisi membuat gula enau atau anau. Jualan gula ini juga turut menyumbangkan pendapatan bersih kepadanya untuk ke Mekah. Mak lang Yam turut mahir dalam membuat gula anau ini. Malangnya, Mak lang tak dapat mengikut Pak lang menunaikan haji kerana dia mudah pening dan muntah bila naik kereta. Naik motor kapcai pun Mak lang boleh muntah-muntah.

0 Comments:

发表评论

<< Home