星期三, 十一月 16, 2005

Menindik Kobau


Satu pagi di hari minggu, kerbau belaan kami lambat dilepaskan. Aku berdiri di tepi tingkap rumah Atuk Keghajo Itam ( atuk tiri). Atuk baru balik dari perigi dan masih bertuala kopam ( lusuh). Jelas kelihatan panau bertompok-tompok macam peta dunia di badan atuk yang hitam tu.
"Tok, aghi dah nak paneh ni. Kobau bolum bolopeh laie" Aku mengejutkan lamunan atok yang sedang mengadap cermin bulat pecah. kepala atuk botak dan sulah.
" Kok yo pun boghilah salam dulu. Tak baik mengondap-ngondap macam tu.." Atuk menegurku.
" Kobau betino tanduk leweh tu dan saghat nak beghanak. Den nak tindik kobou jantan anak ae.." Atuk bersuara dari dalam rumah. Ini bermakna dua ekor kerbau itu tidak akan dilepaskan.
" Yang lain ekau poie bawak ko bonda. Tongah aghi kang kito tindik kobau" Atuk menjengokkan kepalanya dan kepala botakknya telah memakai songkok putih macam J. Nehru Perdana Menteri India. Atuk nak sembahyang dhuha agaknya.
Bukan senang nak melepaskan kerbau-kerbau dalam kandang. Aku terpaksa berhati-hati kerana dua ekor kerbau itu perlu dipisahkan terlebih dahulu. Menggembalakan kerbau meragut tepi sawah cukup menyeronokkan. Lebih 20 ekor kerbau dalam kawalanku. Pernah satu hari kerbau 'terbabau' ( terkejut) lalu lari meredah sawah padi orang yang sedang menghijau. Aku cuba sekuat hati untuk memintas larian kerbau-kerbau tersebut bagi mengelakkan lebih banyak lopak sawah 'diharuk'. Jika aku dapat menyamai paras kepala kerbau yang paling depan dan membalingkan kayu di hadapan kawanan kerbau itu, bermakna aku sudah dapat memutar larian kerbau ke kanan atau ke kiri. Kalau balingan itu dari arah kiri maka kerbau-kerbau akan berlari ke arah kanan. Petua ini adalah berdasarkan pengalaman aku sendiri dan mungkin ramai orang tak tahu. Namun begitu, pagi itu aku kurang bernasib baik sebab larianku kurang laju disebabkan lumpur sawah terlalu tebal.
Kerbau-kerbau kami telah mengharuk sawah padi orang. Aku melihat seorang lelaki tua yang bemisai dan berjambang tebal berdiri memegang cangkul di hujung pematang sawah. Dia menghayungkan cangkul 'ghembeh' ke arah kerbau kami. Kerbau berputar balik ke belakang. Memang rosak teruk anak padi yang subur menghijau 'dilunyah' kerbau. Dia bertempek-tempek. Aku berlari sekuat kerbau itu menghala ke bonda sungai milik Uwan Saadi.
Itulah peristiwa yang sukar dilupakan. Selepas menambat ibu-ibu kerbau di batang senunduk untuk meragut, aku pun baliklah untuk menolong atuk menindik kerbau jantan di kandang. Anak-anak kerbau biasanya tidak pergi jauh bermain apabila ibu mereka ditambatkan. Aku beritau atuk kejadian kerbau mengharuk sawah orang.
" Dio tu paneh baghan sikit, nasib baik ekau tak diapo-apokan.." Jawab atuk.
Atuk menarik kerbau jantan yang telah diikat dengan tali ke celah dua tunggak pagar yang digunakan untuk menindik kerbau. Tali pengikat dikemaskan bagi mengelakkan kerbau besar itu meronta dan menanduk. Kerja menindik ini memang rumit dan memerlukan kepakaran. Atuk sudah sediakan buluh tajam untuk mencucuk lapisan antara dua lubang hidung kerbau. Penindik diperbuat dari kulit rotan yang telah disulam cantik. Masa menindik ini, peluh atuk keluar bagai bermandikan hujan. Botak kepala atuk bersinar bila dibasahi peluh. Panau atuk berkedipan memancarkan air seni dari ruang-ruang roma kulit hitam kendur itu. Kerbau meronta dan ganas. Bau atuk masam bercampur hamis kerbau jantan yang bagai naik minyak itu. Aku turut kelam kabut membantu atuk mengikut apa sahaja arahannya.
Kerja menindik ini berlangsung hampir sejam mengikut kepakaran seseorang. Kemudian kerbau akan dilepaskan dalam kandang tetapi tali masih terikat ditindik. Kerbau diberikan air untuk minum. Kami juga minum teh o sejuk yang diisikan dalam botol melepaskan penah lelah. Rumput ragut yang telah disabitkan akan diberikan bagi mengisi perut kerbau jantan. Atuk cakap kerbau ini perlu ditambat paling kurang tiga hari bagi memastikan luka tindiknya sembuh dan kerbau itu biasa dengan pendindik di hidungnya. Sebelah petang hingga ke pagi, tali hidung kerbau akan diikat ke atas tunggak pagar. Kerbau tidak dibenarkan tidur ke tanah dan ini bermakna kepala kerbau sentiasa mendongak ke atas sepanjang malam. Aku rasa ini menzalimi kerbau itu. Pernah aku bertanya kenapa kerbau itu disiksa begitu. Atuk menempelak keceluparan mulut aku.
" Ekau apo tau.. den dah buek kojo ni sobolum ekau idup laie" jawab Atuk. Aku rasa ini semua kerana untuk membiasakan kerbau itu dengan penindiknya.
Seingat aku ada kerbau atuk yang putus hujung hidungnya kerana pendindik itu dibuat dari dawai. Besi dawai itu telah memutuskan hidung kerbau apabila kerbau itu meronta ditarik. Oleh kerana itu terpaksalah menggunakan tali pengekang yang dililitkan ke kepala kerbau bawah tanduknya.
Nota:
Kopam : Lusuh buruk
Aghi : Hari
Bolopeh : dilepaskan
Ngondap : mengendap
Saghat : sarat
Haruk : pijak
Ghembeh : sejenis cangkul ke sawah
lunyah : lanyak
Paneh baghan : Panas baran
Leweh : terkulai ke bawah

0 Comments:

发表评论

<< Home