星期五, 十一月 18, 2005

Ijo di ghotan 100 kali?

Allahyarham Ijo ( Zulkifli) pernah kena sebatan ayah sebanyak 100 kali. Peristiwa ini berlaku setelah ada pengaduan dibuat yang menuduhnya mencuri duit mak we Saadi. Ijo sebenarnya lebih rapat dengan mak we dan kerap dibawanya ke Kuala Lumpur tinggal di rumah Mak Long Feah. Kalau ada pasar minggu di Padang Lebar, Ijo kenyanglah makan rojak mamak dan kuih apam. Mungkin kerana itulah, kami adik beradik kurang mesra dengan Ijo masa kecil. Ateh Khairuddin semacam tak suka dengan Ijo, sepanjang ingatanku dia jarang sekali berbual atau bergurau dengan adiknya itu. Tak macam dengan aku yang selalu dibuli dan dijadikan 'punching bag' nya. Ateh mula berubah sikap dan menunjukkan sikap adik beradik dengan Ijo sewaktu ateh belajar di IKM Alor Star. Aku nampak perubahan ini bila ateh membelikan pakaian untuk Ijo dari Kedah.
Bila ayah dapat tahu Ijo mengambil duit mak we yang disimpannya bawah tilam ( masa itu mak we belum kawin lagi dengan Atuk Keghajo Itam), ayah yang baru balik dari kebun telah memanggil Ijo. Ayah merotan Ijo menggunakan rotan pecah seribunya. Ayah pegang tangan kiri Ijo dan suruh Ijo membilang sendiri sebatan yang singgah ke betisnya. Libasan rotan itu menyinggahi betis Ijo yang putih, birat dan merah. Ijo hanya mampu membilang tak sampai 10 sebatan sahaja dan kemudiannya menangis teresak-esak. Ayah panggil Iyah adik perempuan kami yang baru darjah satu waktu itu untuk meneruskan bilangan. Iyah membilang ayunan sebatan ayah sampai ke 16 kali dan kemudiannya menangis kerana tak tahan tengok Ijo didera begitu. Aku mengintai dari jauh dan ayah meneruskan sebatannya entah beberapa kali selepas itu. Ijo menangis sakan dan suasana pilu itu masih segar dalam ingatanku. Kami kemudiannya membantu Ijo menyapu minyak angin cap helang ke betis Ijo yang birat seribu.
Aku melihat Ijo waktu itu tak ubah seperti anak yang asing dan kurang bermesra dengan kami. Begitu juga sikap Ijo dengan adik-adik yang lain. Pernah semasa di bawah pokok rambai belakang rumah, Ijo menakik jari Iyah dengan parang hingga berlumuran darah. Lagi sekali Ijo dibelasah. Ijo dirotan macam membedal anjing kurap oleh Ateh. Omak pulak turut merotan Ijo beberapa kali. Ayah yang kebetulan nampak pesta membelasah Ijo telah berkejar dan mencapai batang cangkul. Allah! aku kecuk perut betul melihat babak yang akan berlaku. Ayah menghayun batang cangkulnya... bapppppp.... aku buka mata. Rupanya punggung emak yang pejal itu menjadi sasaran pukulan ayah. Ijo terlepas dan lari... Aku dan Iyah mengejar Ijo hingga ke kebuh getah Tok Bilal. Ijo mengadap kami dengan muka garang.. kami berundur, Malam itu Ijo mungkin beramalam di rumah Mak we Saadi.
Ijo dibuang sekolah
Ijo memang suka berboros dan malas belajar. Selepas tamat darjah 6 di SK Tengkek, Ijo masuk SM Batu Kikir ( English medium) dalam tahun 1969. Dalam kelas peralihan ( Remove class) itulah, Ijo tak membayar yuran bulanan khas bagi sesiapa yang memasuki aliran oghang putih. Kalau tak silap yuran bulanan masa itu $6.00 sahaja tetapi nilainya cukup bosa waktu itu. Surat peringatan sekolah disembunyikannya dan duit yuran itu digunakan oleh Ijo untuk berbelanja sakan di Kedai China Asau pekan Batu Kikir. Ijo hari-hari belanja kawan makan ice kacang.
Kira-kira 9 bulan lepas itu, ayah dapat tahu pihak sekolah memberi amaran keras dan menuntut yuran tertunggak dijelaskan segera. Ayah tak mampu untuk menjelaskannya dan Ijo pun berhenti dari sekolah. Ijo seronoklah melilau tak bersekolah. Emak suruh Ijo menyambung persekolahannya di Sekolah Menengah Rendah Agama Tapak. Ijo terpaksa bersekolah kembali. Kami hairan macam mana Ijo boleh menguasai pelajaran di sekolah tersebut kerana dia buta huruf dalam tulisan jawi. Cuma mata pelajaran Bahasa Melayu, English dan Ilmu Hisab sahaja diajar menggunakan tulisan rumi. Dalam keputusan SRP tingkatan tiganya, Ijo cuma dapat lulus dalam Bahasa Melayu dan English. Ijo belajar setakat itu sahaja.
Latihan teknikal
Ijo pernah belajar kelas malam membaiki radio di Chow Kit, Kuala Lumpur masa tinggal dengan Along Shariffudin. Dia selalu ponteng kelas dan kemudiannya balik berkerja di Ladang Tebu Air Itam dalam tahun 1974. Ayah ingin melihat Ijo berjaya dalam kerjayanya, ayah pohonkan kursus teknikal ( welding) di Pusat latihan Teknikal di Gentam, Kuala Pilah. Kali ini ijo menaruh minat dalam bidang ini. Selepas tamat, Ijo sibuk mencari kerja di kilang. Banyak tawaran yang dia dapat termasuk di Kawasan Industri Tampoi dan Kuantan. Ijo mengambil keputusan untuk berkerja di Senawang sehinggalah dia dinaikkan pangkat penyelia. Kerjanya kira mudah semasa berjawatan penyelia dan gaji pu kira okey. Namun selalu jugak bergaduh dengan isterinya Mimi kerana asyik tak cukup menampung perbelanjaan keluarga. Merokok kuat dan Ijo jenis suka berbudi. Kalau ada duit di tangan, mudah saja dia menghulurkan bantuan kepada kenalannya.

0 Comments:

发表评论

<< Home