星期二, 四月 19, 2011

Nastolgia



Petang sabtu tanggal 16 April 19, 2011 aku melalui jalan-jalan sekitar Taman Tasik Titiwangsa. Tanahnya masih basah disirami hujan. Berdiri sejenak di bawah rimbunan bambu kuning itu, memutar nastolgia 30 tahun lalu. Segalanya telah berubah.. peristiwa hitam yang memaku ingatan bersama gerimis malam yang malang. Kisah anak jalanan yang mencari sesuatu yang hilang.. tiba-tiba hanyut bagai puing-puing di tengah tasik. Bayangannya memanjang dan memukau kesedaran. Mimpi ngeri seorang lelaki.

星期一, 十二月 14, 2009

Persiapan untuk mati


Masuk usia emas dan lebih separuh abad ini, aku merasakan kudrat diri semakin berkurangan. Daya penglihatan dan keupayaan diri terasa mencemaskan, ramai kerabat terdahulu dijemput Allah dalam usia begini atau lebih kurang lagi. Setiap kali menziarahi jenazah, aku cuba menghulurkan tangan untuk memikul usungan ke kereta jenazah. Dadaku sebak dan merasakan kerdilnya diri ketika itu.

Kekayaan dan setinggi manapun ilmu dunia, saat begini paling tidak berharga. Aku telah menumpang nikmat Allah di muka bumi ini separuh abad, kenangan masa kecil, alam persekolahan dan merempat di negeri orang datang mengimbau diri. Aku bukanlah insan istimewa dari segi pendidikan dan kerjayadiri. Noda dan dosa memalit diri di sepanjang kehidupan ini. Aku tidak minta dilahirkan namun demi Tuhan yang memegang nyawaku, aku redha keberadaanku di dunia yang fana ini. Aku bukan haiwan melata terbiar lepas tetapi memikul bebanan umpama kaldai memunggah barang dagangan. Dipertanggung-jawabkan kepada Tuan yang empunya diri. Mau tidak mau, aku harus memikulnya!

Nah, di jalan berliku dan dipenuhi onak duri itulah aku mengatur tapak. Salakan anjing sepanjang bermusafir, ada kalanya aku menjadi nanar dan tersilau oleh kilatan sinar mata syaitan di jalanan. Di lembah gersang itu aku mengharung lumpur hitam yang berbau, kudis tidak menjadi barah tetapi parutnya masih ku bawa dari bukit ke bukit.

Kini, aku mencari jalan pulang. Zikrulmaut menjadi igauan ngeri. Bersediakan aku melalui saat itu?

星期日, 二月 03, 2008

Syafiq kembali ke rahmatullah

akhirnya, Abang Afiq pergi juga... mungkinkah apa yang diilhamkannya menjadi nyata? sebuah rumah atas bukit yang sunyi dan kolam ikan yang indah seperti yang dikatakannya kepada Mamanya. Menerima berita pemergiannya untuk selamanya di Singapura itu.. air mataku menitis mengingati anak yang dulunya terlalu rapat denganku. Tengahari itu sebelum ia dijemput pergi, aku telah bertanya kepada penjaga makam Hj Mohd Said, Seremban cara-cara menempah tempat. Segalanya mudah berlaku sebagaimana doaku agar segala urusan mengenai Afiq dimudahkan Allah..

Di sanalah, di atas bukit dan cukup mudah dikunjungi tetapi sepi itu rumah akhir Afiq. Anggotanya terlalu lembut bagai masih bersama kami ketika dimandikan.. dia telah mendapat apa yang dicita-citakan. Allah telah memberi ia rahmat yang besar.

星期一, 九月 18, 2006

Keluargo Mak Wo Simbun

Aghi ni, ado pulak cucu mak wo simbun yang nganta email selopeh mencapai website http://groups.yahoo.com/group/xray_1407 iaitu laman keluargo bosa Tengkek. Website ini dah lamo tak update tapi dengan kesudian beliau memberi respon itu cukup baik kerana keluargo sebolah mak wo simbun telah terpisah jauh. Dulu-dulu maso kocik bukan tak ingat kek keluargo ini, Pak wo Meon orangnya kurus berkulit sawo matang- kojo motong gotah, mahir bertukang ghumah dan main serunai. Maso kenduri nikah kawin, kumpulan muzik dio yang memainkan lagu tradisi dengan paluan rebano dan gendang kulit kobau yang dibuek sendighi oleh Pak wo Meon cukup mengasyikkan. Maso tu kito oghang akan duduk dokek sekali melihat tiupan serunai buluh, kombang kompih pipi dan leher dio meniup serunai tu. Gondang dan rebano dipalu dengan teratur sekali mengikut alunan serunai.
.
Lampu neon berkelipan di bangsar dopan ghumah pengantin- last sekali tengok kumpulan muzik Pak Wo Meon ialah maso nikah allahyarham acu Tonik ( 1965). Kemudian, "aaa.. topi-topi... bukak gelanggang" jerit orghang tuo topi bendul ghumah. Malam jadi hingar-bingar dan paluan gondang makin laju. Keluarlah allahyarham Pak Lang Mahmud melakukan sombah silat pulut penuh aksi. Kemudian muncul dari sebolah kanan, atuk Buntil ( gagap dan pelet cakap dio) untuk menjadi regu di gelanggang. Nah, masing-masing memecak silat dan mata serta kepala mereka juga semacam lang buana memerhatikan mangsa.. ohh.. semuanya tinggal kenangan, airmata boleh jatuh berlinang.
.
" Sapo menghopang ( menggunting) kepalo ekau nih?, macam kepalo tempurung yo" Pak Wo bertanyo sambil mendudukkan aku di kerusi kayu bawah rambutan masam.
.
Ini adalah gara-gara arwah ayah membeli mesin gunting rambut, dio tak pandai menggunting rambut tapi senghajo nak belajar dan kepalo anak-anak yang diperdajalkan. Abih dighopang jadi kepalo tumpurung. Macam gambar ni di bawah:


Pak Wo pun repair semula kepalo aku yang abih capuk rapuk disagat mesin gunting oleh ayah. Budi baik mereka yang telah mendahului kami semoga ruh mereka dirahmati Allah jua.
.
keluargo mereka banyak molo anjing hingga dah pindah kek Chemomoi pun masih minat menternak binatang tu, maklumlah ghumah dokek hutan belukar macam-macam adaaa.. bilo mak wo simbun dah masak gulai ikan sungai, masing-masing ghapat mengadap nak makan. Ujang anak dio sebayo dengan aku dan pernah kito oghang buli ujang maso tolong menolong nyangkur sawah.. ujang dibonamkan dalam lumpur hinggo terbatuk-batuk 'keng, keng.. bunyi batuk ujang sambil menangis. Lopeh tu kito bawak dio kek Tang Jompo ( sungai Jempul) dan memandikan ujang macam kobau. Lopeh tu menyolam samo-samo.
.
Adik beradik Mak Wo Simbun ialah Atan dan Putih ( Mat Zin). Hanya Simbun yang tinggal di tengkek dan kawin dengan Meon. Allahyarham Atan dan Putih tinggal di kampung asal mereka di Sungai Buloh ( Paya Jaras) Selangor. Ghamai keluargo mereka di Paya Jaras sekarang dan Putih ( kami panggil Mr. White) meninggal beberapa tahun lalu. Maso dio jadi jaga sekolah di SK Kuang, rajin jugak aku temankan dio di waktu malam sambil ngisap rokok dio. Mereka maso kocik telah dibawa atuk Faseh ke Tengkek dan tinggal dengan uwan Saadi ( omak tiri), lopeh tu atuk kawin lagi dengan jando di kg Jerejak dan dapek Induk Iyah. Duduk dengan omak tiri memanglah jadi perlembu... ini semuo diceghito dek omak maso zaman kesusahan pemerintahan Jopun dan bintang tigo- yang menyebabkan atuk Faseh dibunuh oleh kominis.
.
Atuk ado memperuntukkan tanah kampung untuk Mak Wo Simbun tapak ghumah lamo dio dulu tapi Uwan Saadi memang bengkeng, ini mungkin punco pak wo dan Mak wo Simbun menebus ( membuka tanah kampung) di Chomomoi. Maso tu akhir 1960an, ghamai oghang Ulu Jempul berhijrah ke Pahang. Latif anak cucu dio berkawan dengan aku dan kerana masih kecik maka teruklah kena buli. Maso abah dio ( Suman) balik bawak resen ( makanan dalam tin) dapeklah kito oghang menghaso daging kari dalam tin. Omak aii.. sodap boto.
.
Tahun 1972, ayah bertukar ke Durian Tipus dan kami membuka kedai kopi di simpang jalan Kg Pelangai. Hujung minggu dan cuti sekolah, kami diarahkah ke kampung Chomomoi membersihkan kobun durian. Aku naik basikal tuo ikut 'short cut' di tepi kilang papan meredah hutan dan jalan laluan lori balak. Selepas masuk asrama di Seremban dalam tahun 1974, aku macam 'allergic' pulak nak melakukan kerja kampung. Kini hampir 33 tahun tak menjenguk Chemomoi.

星期三, 七月 19, 2006

Omak meniti usia senja


Sayu bila tengok omak. Bila aku sampai tengahari tu ( Sabtu 15/7/06), omak tengah menyuapkan nasi berlauk goreng towgey. Along duduk memerhatikannya. Berlauk begitu memang menyedihkan tetapi omak paksa juga menelannya. Kedut pipi dan tangan omak jelas kelihatan berkedut seribu. Omak kata umurnya dah 75 tahun, dalam kad pengenalan tarikh lahirnya 1933 tapi omak cakap tahun itu tak tepat. Omak asyik mengalami pening kepala dan mula uzur. Khamis sebelum itu, omak cirit-birit dan pitam. Nasib baik Makcik Romah cepat datang ke rumah setelah menerima panggilan telefon omak. Omak telefon Iyah di HUKM Kuala Lumpur, Iyah pulak konteks Along di Johol kerana dia sahaja yang kira terdekat untuk balik kampung. Ateh dah tak boleh diharapkan dan ami pulak sedang menunggu anaknya di ward hospital S'ban. Along sempat balik dan bawa omak ke klinik dan bawa omak balik ke rumahnya di Johol. Bini dia Kak Milah sedang berada di Nilai rumah anaknya Linda- Kak milah pun demam jugak.

Pagi sabtu, aku terus berkereta balik ke Johol. Malangnya pintu rumah along dah berkunci. Tak sabar untuk sampai ke Tengkek dan cuaca panas begitu memang merimaskan bila berkereta. Malam itu aku bermalam di rumah menemani omak. Omak anak ramai tapi bila saat uzur begini, semua bermasalah nak berkorban menunggu omak. Semua ada tanggungan dan kerja. Cuma Iyah dan Ijai sahaja anak perempuan omak yang tak berkerja tetapi masing-masing ada komitmen sendiri. Iyah terpaksa menunggu Syafiq yang terlantar di HUKM. Omak faham perasaan dan gejolak hati Iyah masa menerima mehnah terhadap anaknya ini. Dulu omak juga hampir nanar ketika aruah Angah menderita penyakit kenser tahun 1968. Masa itu memang cukup menyedihkan kerana keluarga kami miskin sungguh. Inilah perngorbanan yang telah dilaluinya.

Pagi ahad, aku bawa omak balik ke Kuang, Sungai Buloh. Dalam kereta omak merungut kerana aku terlupa nak ambil bungkusan ayam salai dan daging di atas meja dapur.

“ apo tak ambik.. boghulatlah daging tu nanti” sungut omak.

“ Nanti kito telefon Ami” jawabku selamba.

Dalam kereta, aku minta omak teruskan amalan zikir dan istighfar. Minta omak ampun dosa anak-anak walaupun ado anak omak yang sanggup menyisihkan omak. Malam tadi ( 18/7/06) Omak mengadu pening dan panas, memang cuaca cukup panas sekarang. Rus sediakan semangkok air batu untuk menyejukkan kepala omak dengan sapu tangan. Omak ‘mengingatkan’ aku ttg duit dan emasnya dalam beg. Aku cuba mengalihkan percakapan omak kerana tak sanggup pulak mendengar kata-kata omak yang macam merasakan sesuatu bila kepayahan begitu.

“manolah tau..” jawab omak.

Pagi sebelum sholat subuh, omak suruh aku urut kakinya. Aku turut memincitkan kepala omak. Lagi sekali aku nasihatkan omak menerima penyakit tua ini dengan redha serta banyak bersabar. Ketika melangkah keluar untuk pergi kerja, aku menoleh dan melihat omak terbaring. Tasbih merah hati yang di bawanya dari kampung di jarinya. Alhamdulillah.
Photo: Omak tengah membaca wirid Tareqat Ahmaddiah.

星期一, 五月 22, 2006

Syafiq terlantar di ward


Minggu lalu, Syafiq masuk HUKM kerana serangan leukemia. Allah telah memilih Syafiq dan keluarga kami sepatutnya insaf dan redha kerana ini semua sudah tersurat di kalam Allah sejak azali. Ketika menerima panggilan telefon dari Tira malam tu, aku terkejut kerana tidak menyangka penyakit bahaya ini boleh menyerang Syafiq kerana dia anak yang agak aktif dan kira berjaya dalam pengajiannya di UITM. Kami berjumpanya sewaktu menghadiri pengkebumian Pak Lang Mahmud 2 Mac 2006 di kampung, dia kelihatan ceria saja.
.
Bagi anak kami Nabil, Syafiq baginya bagai idola kerana rambut abang Chapiq selalu menjadi perhatiannya.
.
Sebelum itu, dia dirawat di Hospital Colombia Seremban dan selepas disahkan mendapat leukemia maka Papa dan mamanya terpaksa turun ke Kuala Pilah untuk mendapat nasihat doktor yang pernah tinggal berjiran dengan mereka. Doktor itulah yang mengesyorkan supaya Syafiq dirujuk segera ke HUKM. Syafiq mengadu tulang-tulang sendinya sakit dan gerahamnya juga sakit untuk mengunyah. Syafiq mungkin sudah lama diintai penyakit ini tetapi masing-masing alpa maklumlah siapa yang tahu sindrom kekurangan darah merah ini dalam tubuh Syafiq.
.
Aku rasa tapak kaki dan tangan Syafiq begitu panas. Dia kelihatan pucat kuning. Aku cuba menahan sebak di hati kerana anak saudaraku ini agak rapat dengan ku sejak dia kecil. Masa kecilnya Syafiq tidaklah begitu aktif dan pernah dirawat di HDKP kerana tercurah air panas di dadanya. Aku menyuruh Syafiq tabah dan sabar dengan ujian ini. Aku ingatkan dia agar selalu bertasbih bagi menguatkan semangatnya. Iyah dan Baha pasti lebih teruk dan berkecamuk dalam menghadapi situasi gawat itu. Kewangan untuk berulang alik dari Seremban dan kesihatan diri mungkin terganggu. Ini kenyataan yang harus dilalui dan mungkin derita itu jugalah yang ditanggung oleh ayah dan omak ketika menghadapi angah tahun 1968 dulu. Angah terlantar berbulan kerana diserang barah di kaki kanannya. Waktu itu keluarga begitu kesempitan wang dan detik-detik celaru itu telah aku garapkan di blog ini.
.
Diberitakan bahawa paras platlet darahnya rendah dan water drip serta bantuan darah terpaksa dilakukan setiap hari. Syafiq juga menerima rawatan kimoterapi secara berkala dan 'bone maroow test bagi mengambil sample tulang sumsum juga telah dilakukan. Kesian tengok Syafiq digerudi begitu.

Aku sendiri konpius sejauh mana barah darah yang dinamakan leukemia ini benar-benar menghantui mangsanya. Pagi ini aku melayari beberapa laman web berkaitan acute lymphocytic leukemia ini. Berikut ialah sedikit maklumat yang aku perolehi untuk dikongsi bersama:

From Wikipedia
Jump to: navigation, search

Leukemia ialah sejenis penyakit barah darah atau tulang sumsum yang berpunca daripada penghasilan pesat sel-sel darah putih primitif.

Jenis utama

Leukemia boleh dibahagikan secara klinikal dan patologikal kepada bentuk akut (mendadak) dan kronik (teruk):

Leukemia akut: penghasilan pesat sel darah muda. Ini menyebabkan tulang sumsum gagal menghasilkan sel darah dewasa. Boleh terjadi pada kanak-kanak dan orang muda. Jika tidak dirawat segera, pesakit boleh meninggal dalam masa beberapa bulan ataupun minggu.

Leukemia kronik: penghasilan banyak sel darah dewasa yamg tak normal. Biasanya mengambil masa beberapa bulan hingga tahun. Biasanya terjadi pada orang tua, tapi tidak mustahil pada orang muda. Selalunya diawasi untuk suatu tempoh sebelum dirawat untuk keberkesanan rawatan yang maksimum. Lihat komplikasi dalam leukimia kronik.

Leukemia juga boleh dikelaskan mengikut jenis sel tak normal yang paling banyak dijumpai dalam darah:
Jika sel limfoid yang dijangkiti, ia dipanggil "leukemia limfosit".
Jika sel mieloid yang dijangkiti, ia dipanggil "leukemia mielogenus".

Jika dua jenis kategori ini digabungkan, terdapat empat jenis utama leukemia:

Leukemia limfosit akut (ALL), paling biasa menjangkiti kanak-kanak.
Leukemia mielogenus akut (AML), lebih biasa berlaku pada orang dewasa berbanding kanak-kanak.
Leukemia limfosit kronik (CLL), biasanya menjangkiti orang tua > 55 tahun, boleh juga menjangkiti orang muda.
Leukemia mielogenus kronik (CML), biasanya menjangkiti orang dewasa. Jenis paling jarang berlaku.
KOMPILIKASI YANG TERLIBAT DALAM LEUKIMIA KRONIK

1. Pembengkakan nodus limpa di leher, ketiak,perut,atau kemaluan.
2. Rasa sakit yang teruk terutamanya di bawah sternum.
3. Rasa letihan dan lesuan
4. Kehilang berat tanpa sebab tertentu.
5. Demam
6. Menerima lebam dengan senang.
7. Rasa sakit pada tulang.
8. Kadar pernafasan rendah( shortness of breath).
9. Kehilangan daya untuk makan.(loss of diet).
10. Dalam kes-kes yang teruk akan menyebabkan kematian.
11. Petechiae(pembentukan bintik-bintik merah dan kadang kala berbentuk tajam di bawah permukaan kulit yang disebabkan oleh pendarahan)
Diperolehi daripada "http://ms.wikipedia.org/wiki/Komplikasi_dalam_leukimia_kronik"

LEUKEMIA

Leukemia ialah sejenis barah yang berpunca daripada penghasilan pesat sel-sel darah putih primitif. Sel darah putih berbarah ini akan menyekat penghasilan sel darah merah. Ini menyebabkan pesakit mengalami anemia. Keadaan ini menyebabkan kekurangan sel-sel putih matang dan seterusnya mengurangkan ketahanan badan terhadap jangkitan. Sel-sel ini juga menyekat penghasilan paletet yang membantu dalam mekanisme pembekuan darah tubuh badan. Kerap kali petunjuk pertama bagi penyakit leukemia ialah anak mengalami masalah anemia dan sebarang jangkitan penyakit yang dihidap oleh anak sukar sembuh.

Tanda-tanda
Anemia - pucat, letih dan pendek nafas.
Mudah jatuh sakit.
Sakit anggota badan. Jika sakit pada bahagian kaki, keadaan ini akan menyebabkan anak berjalan tempang.
Purpura - ruam berwarna jingga yang tidak hilang apabila dipicit.
Mudah lebam.
Hidung kerap mengalami pendarahan.
.
Apakah yang boleh dilakukan?
.
Pada suatu ketika dahulu, kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia mempunyai harapan yang tipis untuk sembuh tetapi dalam dekad ini, terapi yang ditemui telah berjaya meningkatkan peluang mereka untuk sembuh bagi 50 peratus kanak-kanak yang menghidap leukemia jenis biasa.
Kanak-kanak yang menghidap penyakit ini akan dirawat oleh pakar pediatrik yang berpengalaman dalam penyakit leukemia kanak-kanak. Beberapa jenis dadah akan diberikan secara serentak, sama ada secara oral atau suntikan. Bagi jenis leukemia yang biasa, radioterapi dan dadah yang khusus mungkin digunakan untuk membunuh sel barah otak. Manakala pemindahan darah mungkin dilakukan di peringkat awal rawatan. Jika bilangan sel putih jatuh ke tahap yang sangat rendah, anak akan diasingkan untuk mengelak anak daripada diserang oleh sebarang jangkitan. Setiap pelawat diperlukan memakai pelindung dan pakaian khas. Selepas beberapa minggu, anak akan dibenarkan pulang ke rumah. Namun pemeriksaan lanjutan masih diperlukan untuk mengawas keadaannya.
Peranan anda sebagai ibu bapa ialah memberikan sokongan sepanjang rawatannya dengan meningkatkan semangat anak. Kanak-kanak yang menghidap leukemia tidak boleh didedahkan kepada jangkitan kanak-kanak yang boleh menjangkit seperti cacar air, kecuali anak telah diimunkan. Oleh itu, anda perlu memastikan rakan-rakan sepermainan tidak menghidap sebarang penyakit yang berjangkit.
.
Apakah tindakan doktor?
Doktor akan melakukan ujian darah untuk mengenalpasti penyakit leukemia. Doktor juga akan melakukan tebukan lumbar. Anak akan menjalani rawatan permulaan selama 2 -3 bulan di hospital. Tempoh rawatan bagi penyakit leukemia ialah antara 2 - 3 tahun.
Untuk maklum lanjut kita boleh layari http://www.infoforyourhealth.com/Cancer/leukemia.htm atau di wikipedia.

星期五, 三月 03, 2006

Pak Lang mati????



Innalillahi-wainnahirojiuun... lebih kurang 6.45 pagi khamis bertarikh 2 Mac 2006 bersamaan 2 Rabiawal 1427H kami dikejutkan berita pak lang Mahmud telah kembali ke rahmatullah. Pagi itu aku baru menyuap roti bakar dan Nabil bercerita tentang penglibatan dia dalam sukan di sekolah ahad nanti. Tiba-tiba telefon berdering, Ros bergegas mengangkatnya dan kemudiannya memberi tahu Iler ( Hasnah kakakku) menyampaikan berita pak lang dah meninggal dunia. Pakat punya pakat, kami mengambil keputusan untuk menjemput Afdhal yang telahpun pergi ke sekolah untuk dibawa balik bersama. Tak sempat nak bertanya penyakit dan bila pak lang menghembuskan nafas terakhirnya.
Kami bertolak balik jam 8.00 pagi dan singgah mengganti minyak hitam kereta di Bandar Baru Sg Buloh. Dalam perjalanan kami sempat mengimbas kembali perbincangan kami untuk menghantar Afdhal dan Nabil belajar seni silat pulut yang diwarisi pak lang di cuti sekolah nanti sebelum ini. Nampaknya, tiada rezeki anak-anak untuk mewarisi seni itu. Pak lang memang mempunyai kemahiran dalam silat pulut iaitu gerak tari silat yang menarik untuk majlis perkahwinan. Gerakan lembut tangan dan ekor matanya ketika menggayakan pencak silat itu di depan raja sehari begitu menarik. Apatah lagi kalau ada pasangan ( lawan) turut serta dan kemuncaknya ialah pesilat akan cuba menjamah pulut kuning di depan pengantin. Mereka akan saling tepis menepis untuk mendahului lawan. Ini semua tinggal kenangan belaka dan benak fikiran dibungkam keresahan dalam perjalanan balik itu.
Jam 11.30 pagi, kami sampai di rumahnya. Telah banyak kenderaan di tepi jalan yang sempit ke rumah pak lang dan sanak saudara sudah ramai datang. Aku melihat dua ekor beruk peliharaan pak lang turut meramaikan majlis. Anak beruk yang tertambat di kanan laluan menjadi perhatian kanak-kanak kerana cuba mencuit hati dengan telatahnya. Dia akan mencapai sesiapa yang menghampirinya dengan tangan atau kaki. Kemudian memutarkan badan ke belakang dan ada seorang budak lelaki yang berani menggosok kepala dan belakangnya, lalu anak beruk itu semacam memutahkan air liurnya keluar bergelembungan.
Beruk betina di depan tangga pula bagai turut bersedih ditinggalkan tuannya. Dia mempunyai jasa yang besar kerana melalui tubuh kudratnya itu pak lang dapat menambah pendapatan harian mengambil upah memanjat kelapa. Sebatang kelapa dibayar RM5.00 dan pak lang tidak lagi mengambil upah dengan buah kelapa kerana tidak berbaloi menerima upah buah kelapa masak. Di kampung boleh dikatakan semua orang ada pokok kelapa dan mustahil motor kapcai pak lang mampu membawa buah-buah kelapa upahan tersebut. Yang pasti beruk betina itu mesti duduk di raga depan dan menyinggai sesiapa yang berselisih di depannya. Pak lang kata, dia juga dapat upah minum oren dan gula-gula hacks apabila pak lang berhenti minum di warung kopi di kampung.
Tengahari itu, beruk betina cuba menyeluk poket seluar tetamu tua yang turut hadir. Beliau terkejut kerana tidak menyangka nyaris kena 'pick pocket' memang telatah beruk peninggalan pak lang itu mencuit hati. Siapakah yang akan mewarisi beruk-beruk tersebut nanti? mampukah mereka berinteraksi dan saling mengenal hati budi masing-masing seperti pak lang?
Setelah bersalaman dengan sanak saudara, aku ke bilik air di luar rumah untuk berwuduk. Dulunya kawasan bilik air itu adalah bekas rumah ( layak dipanggil pondok) pak lang dan mak lang Yam. Di situlah kami semasa kecil duduk bersila di atas lantai buluh atau pelepah batang pinang menjamah dodol di hari raya. Masa itu tiada duit angpau yang dinanti dan pak lang memang bengkeng. Mak lang Yam saja yang terbongkok-bongkok melayani kami. Namun selepas kami dewasa, pak lang benar-benar berubah dan cukup peramah. Pengalaman memburu dan masa muda sering dikongsi bersama bila bersantai dengan anak-anak buah. Rokok pucuknya turut digulung dan dicucuh api lighter sambung menyambung, pekena pulak sirih omak.
Hari raya yang lepas, aku tak sempat menziarahinya di rumah kerana hujan lebat betul dan jalan ke rumah pak lang begitu becak locah. Tiada tempat untuk parking kereta. Namun kami masih sempat bersalaman ketika pak lang datang ke rumah omak.
Di tengah serambi rumah, jenazah pak lang terbujur melunjur ke kiblat. Aku melangkahi antara penziarah yang ramai di serambi itu. Ros isteriku duduk tersimpuh di sebelah mak cu CikYong dan lain-lain ibu saudara yang aku sendiri lupa nama mereka lantaran terlalu lama merantau ke negeri orang. Sarin dah duduk membaca surah yassin. Aku melihat kaum ibu sibuk menyediakan kain kapan untuk pak lang. Di ruang tengah, kaum bapa menyiapkan alatan untuk memandikan jenazah. Aku pun mencapai buku surah yassin yang lusuh di tepi bahagian kepala pak lang. Aku duduk bersila di sebelah kanannya. Membuka kaca mata dan lalu menitih membaca ayat suci. Aku membacanya perlahan agar suaraku tidak menggangu hadirin tetapi tanpa sedar mungkin nada suaraku mencapai digit yang boleh didengari audien di ruang tetamu. Seorang tua yang kelihatan uzur mengambil tempat di kiriku dan bersalam. Dia menyingkap kain batik lepas yang menutup bahagian kepala pak lang. Aku kemudiannya turut menarik hujung kain itu dan melihat pak lang yang bagai pengantin lena di peraduannya. Beliau kemudian mula membaca surah suci 'merangkak' mungkin kerana keupayaan peti suara dan bola matanya yang lemah dipaut usia.
Selepas sedikit berdoa agar ruh pak lang dirahmati Allah, aku pun turun ke tanah. Pak lang semasa hidupnya bagai berkongsi kefahaman politik denganku. Beliau mungkin ahli Pas tetapi aku tidak pernah bertanya tentang keahliannya. Beliau tak miss untuk menghadiri ceramah-ceramah politik atau agama yang dianjurkan oleh Pas. Sebelum ini aku datang mendapatkan secebis kisah hidup Maulana Lebai Maadah Layang yang terkenal itu dan beliau turut menyerahkan beberapa helaian buku ( telah lusuh) penubuhan sekolah agama yang ditubuhkan oleh Lebai Maadah dalam tahun 1937.
Pak lang sebetulnya adalah salah seorang pengikut kamu muda ( tidak bermazhab) dan beliau berguru secara tidak langsung dengan atuk Jalil anak murid Tuan Guru Lebai Maadah. Pengikut ini tidak menyenangi adat mengadakan kenduri arwah dan bertahlil sebagaimana budaya masyarakat sekarang. Kalau semasa hidupnya mereka 'membidaahkan' kerjalaku yang dianggap tidak sunnah maka bagaimana pula kaum keluarga peninggalannya untuk mengadakan majlis tersebut bermula malam pertama dia dikebumikan?
Jenazah pak lang dimandikan dan aku sempat meninjau dari tangga dapur. Entah kenapa kali ini aku semacam tidak terlintas untuk turut memandikan jenazah kerabat sendiri. Aku melihat jenazah pak lang dimandikan dengan dilapik kain kapas putih yang nipis, bila basah maka menampakan anggota tubuhnya. Aku hairan kenapa ketua yang memandikannya ( Basiron) tidak menyedari aurat begini. Aku menyuruh salah seorang dari mereka menutup aurat itu dan beliau pun mengambil sehelai kain kecil yang digunakan untuk membersihkan rongga dalam jenazah dan menutupnya. Aku kira itu tidak memadai dan aku pun melangkah turun.
Jenazah pak lang setelah dikapankan pun diusung ke van jenazah yang didatangi dari masjid Kg Jerejak untuk di bawa ke masjid Kg Tengkek. Pak lang tidak dikebumikan di pusara orang Islam yang berhampiran ( setempat dengan kubur Maulana Lebai Maadah) di Kg Jeram kerana kedudukan kubur di atas bukit. kaum wanita dan orang-orang tua mesti mencungap untuk ke lokasi itu. Aku sendiri pernah kali pertama ke sana bersama Aswan ketika mencari kubur Lebai Maadah. Mungkin pak lang telah disuratkan akan disemadikan berhampiran sanak saudaranya yang lain. Inilah kata orang 'jodoh pertemuan, rezeki dan kubur mana kita disemadikan' adalah dalam ketentuan Allah jua.
Sebelum turut ke masjid, aku sempat mengambil gambar mak long Feah ( kakak omak). Dia kelihatan telah uzur tua dan kurus pucat. Aku hanya memerhatikannya dari jauh sahaja kerana mak long Feah ini kurang mesra dengan kami dan seakan masih mengekalkan gaya masa mudanya. Omak pun berjalan menjauhinya dan dipapah isteriku menuruni bukit depan rumah pak lang. Omak semacam serik diperhina oleh mak long walaupun omak dah cuba memulihkan sengketa yang direka cipta oleh kakaknya yang sulong itu. Mereka keduanya telah uzur tetapi perang dingin mereka semacam telah berpatah arang. Tetapi omak masih tertanya-tanya kenapa hitam sangat hati kakaknya untuk menerima kehadiran dia sebagai adik. Ini yang turut menghantui pemikiran kami. Tiba-tiba Anum anaknya yang sebaya dengan Iyah menyapa. Beliau bersalam dengan Iyah dan aku turut menghulurkan tangan bersalaman. Dia tidak seperti ibunya dan begitu juga angah Nuar dan along Duan anaknya yang masih berbaik sangka dengan kami. Dulu masa kecil, kami selalu bermain dengan Anum dan dia pernah memecahkan cermin almari mek up omak. Omak tak kisah....
Selepas sholat zuhur berjamaah di masjid, aku kira itulah ketikanya dewan masjid diramaikan orang selain hari-hari raya dan jumaat. Jenazah pun disembahyangkan oranglah. Kemudian usungan ditandu orang ke kereta jenazah. Setiap kali kaki melangkah (sebanyak 3 kali) imam menyebut "al fatehah..." maka semua yang bersama pun berhenti untuk membacanya.
Aku bertanya dengan Dollah yang dikatakan orang yang terakhir bersama pak lang. Pak lang dikatakan menghembuskan nafas terakhir di dalam hutan tebal jam 12 tengah malam ketika keluar memburu dengan Dollah. Pak lang telah terjatuh dan meninggal di tempat kejadian mungkin kerana sesak nafas atau semput setelah mendaki lebih 4 bukit ke dalam hutan tebal itu. Sudah beberapa kali beliau mengalami pitam dalam hutan dan sesat tetapi pak lang masih berdegil untuk keluar memburu. Memburu sudah menjadi darah dagingnya. Harimau atau lolongan jembalang hutan tidak menjadi halangan baginya. Bila Dollah sudah pasti pak lang sudah meninggal dunia, beliau mungkin takut menerima mehnah ini maklumkan hanya mereka berdua sahaja di malam gelap dalam belantara rimba. Pengalaman dalam hutan menjadikan Dollah cekal dan tidak patah semangat. Dia membetulkan jenazah pak lang dan meletakkan lampu suluh di celak ketiak pak lang. Beliau harap suluhan lampu suluh itu nanti memudahkan pasukan pencari kelak. Dia pun keluar berjalan pulang untuk mendapatkan bantuan. Hampir 3 jam beliau meredah hutan tebal dengan perasaan yang mungin cuba disembunyikannya.
Pasukan pencari di kalangan saudara mara tiba jam 3 pagi setelah bersusah payah mencari lokasi jenazah. Mungkin ada sesuatu yang ingin menyukarkan mereka ke tempat itu. Jenazah selamat di bawa keluar selepas waktu subuh.
Dikubur aku sempat berdiri sejenak di kubur ayah, mak uwe Baiyah, Ijo dan angah. Membaca fatehah agar ruhnya dirahmati Allah. Ateh Khairuddin turut menimbuskan tanah untuk meratakan tanah kubur pak lang. Bahagian pundak kepala ateh semakin tidak berambut dan badannya masih gemuk. Dia sudah menjangkau usia 51 tahun sekarang dan benar-benar mewarisi usia emas. Telah semakin hilang ketampanan dan keceriaan. Seusai majlis talkin, aku dan Afdhal meluru mengekorinya di celah barisan kubur. Dia ingin beredar tanpa mempedulikan adik beradik yang mungkin turut memerhatikannya. Ateh cuba menyisihkan dirinya kerana konflik diri yang diserasikan. Dia bermasalah tetapi percaturan hidupnya seakan kelam jika tidak berusaha sendiri mencari jalan pulang. Ateh masih menafikan status omak dalam dirinya!!
Aku menarik tangan kanannya dari belakang. Dia berpaling dengan senyum tawar. Kemudian anakku Afdhal bersalaman dan aku tidak mahu anak-anakku turut terjebak dalam kancah sengketa. Aku berpendapat adalah tidak wajar kewarasan dan kedewasaan turut serta mencarik ukhwah. Aku tidak tau adakah ateh hanya layak menjadi 'penggali kubur' kalau sebelum ini dia balik menggali kubur untuk Ijo dan kini untuk pak lang pula. Dia datang awal menyiapkan kubur dan kemudian dia juga yang turut menimbuskan lubang yang digali. Mungkinkah nanti dia seperti itu juga... gali dan timbus lubang untuk omak?
Link